JAKARTA: Sebuah gunung berapi di timur Indonesia memuntahkan kepulan abu setinggi enam kilometer (km) ke udara dalam hampir 100 letusan terbaharu sejak awal tahun ini.
Menurut pihak berkuasa, letusan baharu di Gunung Ibu di pulau Halmahera di wilayah Maluku Utara itu dilaporkan berlaku pada pukul 3:30 pagi (waktu tempatan) hingga menyebabkan debu pasir berguguran melitupi kawasan sekitarnya.
Gunung berapi tersebut yang sudah meletus sekurang-kurangnya 95 kali sejak awal tahun, kini berada pada tahap berjaga-jaga tertinggi dalam sistem empat peringkat Indonesia selepas pihak berkuasa menaikkannya awal bulan ini.
“Kepulan abu besar itu sedang diperhatikan. Ia berwarna kelabu dengan intensiti tebal yang kini bergerak ke arah barat.
“Bunyi dentuman kedengaran sehingga ke pos pemantauan,” kata Ketua Agensi Geologi, Muhammad Wafid dalam satu kenyataan.
Beliau menyeru orang ramai supaya tidak memasuki zon pengecualian antara empat dan tujuh kilometer dari kawah gunung berapi itu.
Gunung berapi itu meletus beberapa minggu lalu pada skala yang sama, menghamburkan menara abu yang besar sejauh lima km ke langit.
Ibu adalah salah satu gunung berapi paling aktif di Indonesia, meletus lebih 21,000 kali sepanjang tahun lalu.
Menurut Agensi Geologi, gunung tersebut mencatatkan purata 58 letusan sehari pada 2023.
Indonesia, sebuah negara kepulauan yang luas, mengalami aktiviti seismik dan gunung berapi yang kerap kerana kedudukannya di Lingkaran Api Pasifik.
Bulan lalu, Gunung Ruang di wilayah Sulawesi Utara meletus lebih daripada enam kali, memaksa beribu-ribu penduduk pulau berdekatan dipindahkan dan masih kekal pada tahap amaran tertinggi.
Kesemua lebih 800 penduduk Pulau Ruang dilaporkan akan dipindahkan secara kekal di kawasan perkampungan baharu yang dibina kerajaan.-AFP










