GAZA: Hamas melancarkan serangan roket besar-besaran ke arah kawasan Tel Aviv dengan beberapa daripadanya dipintas oleh sistem pertahanan udara, lapor tentera Israel.
Serangan itu dilaporkan berlaku beberapa jam sebelum bedilan Israel ke atas kawasan di bandar Rafah, selatan Gaza, di mana orang yang kehilangan tempat tinggal berlindung.
Serangan Hamas ke atas Tel Aviv itu merupakan kali pertama dalam hampir empat bulan dan berlaku di tengah-tengah operasi ketenteraan Israel yang berterusan di Rafah.
Serangan melibatkan lapan roket itu menggambarkan cabaran yang dihadapi tentera Israel ketika rejim Zionis bergerak lebih jauh ke selatan Gaza untuk menggulingkan Hamas daripada kubu kuat terakhirnya.
Serangan roket itu berlaku menjelang rundingan gencatan senjata selanjutnya antara Israel dan Hamas, yang dijangka disambung minggu depan.
Sayap tentera Hamas, Briged Izzedine al-Qassam berkata, serangan itu sebagai tindak balas kepada pembunuhan beramai-ramai orang awam di Gaza.
Siren serbuan udara turut berbunyi di bandar termasuk Herzliya dan Petah Tikva dan tentera Israel berkata sistem antipeluru berpandu Iron Dome memintas tiga daripada lapan peluru itu.
Kebanyakan mereka mendarat di kawasan terbuka, tetapi gambar yang diterbitkan oleh media Israel menunjukkan kerosakan rumah di Herzliya, di mana seorang wanita warga emas tinggal bersama penjaganya sementara polis berkata dua orang mengalami kecederaan ringan.
Di Kfar Saba di utara Tel Aviv, roket jatuh di atas padang, mencipta kawah besar.
Semalam siren juga berbunyi di kawasan perkampungan sempadan di selatan bersebelahan dengan Gaza, termasuk beberapa di mana penduduk sudah kembali untuk tinggal sejak serangan Hamas pada 7 Oktober tahun lalu.
Hamas tidak mengesahkan roket itu dilancarkan dari Rafah, di mana pertempuran dilaporkan berhampiran Hospital Kuwait.
Walaupun kebimbangan antarabangsa yang sengit, Israel memulakan serangannya di bandar selatan Gaza kira-kira tiga minggu lalu dan berikrar untuk memusnahkanbatalion Hamas terakhir yang hadir di sana.
Tetapi serangan roket terbaharu itu adalah peringatan tentang keupayaan ketenteraan Hamas selepas tujuh bulan serangan yang dikatakan bertujuan untuk menghapuskan kumpulan itu.
Menteri Kabinet perang, Benny Gantz berkata, pelancaran roket itu menunjukkan keperluan untuk tentera meneruskan serangannya.-AGENSI










