SERANGGA jenis kutu kayu atau lebih terkenal dengan nama isopod ini bukanlah sesuatu yang dikenali ramai.
Kawasan kegemaran di bawah dahan kayu turut menjadikan serangga ini sering tidak kelihatan.
Namun, siapa sangka, kewujudannya dalam ekosistem memberikan manfaat signifikan.
Haiwan yang lebih cenderung untuk duduk secara berkumpulan ini gemar pada bahan-bahan organik kering yang mudah untuk dicerna.
Antaranya seperti di bawah dahan, daun kering dan tanah lembab.
Saiznya secara umum pula hanya mencecah sehingga 1.5 sentimeter.
Pemilik Beardie and Friends, Yeo Pei San, 42, berkata, serangga yang tidak kelihatan di atas tanah itu cenderung untuk tinggal di bawah tanah kerana keadaannya yang lebih lembab.
Katanya, serangga itu menggemari tempat yang gelap, sejuk dan lembab untuk berfungsi dengan baik.
“Kalau tengok dari atas, kita memang tidak nampak mereka kerana lebih suka duduk di dalam tanah.
“Mereka suka pada tempat yang gelap dan sejuk seperti bawah dahan pokok,” katanya kepada Seri.

CENDERUNG untuk duduk secara berkumpulan.
Sumbangan haiwan itu dalam ekosistem seperti hutan adalah sebagai baja di mana najis yang dicerna dari tumbuhan kering berfungsi sebagai baja untuk kesuburan tumbuh-tumbuhan.
Bagi pencinta pokok hijau, isopod ini dijadikan sebagai sumber khasiat. Penjagaan mudah selain cirinya yang pantas membiak menjadikan ia pilihan kepada pencinta tumbuhan hijau dengan menggunakan kaedah terarium bioaktif.
Terarium bioaktif digunakan sebagai ekosistem kecil dalam tangki merangkumi hidupan seperti tumbuhan dan mikrofauna.
“Ia merupakan satu kitaran hidup di mana isopod ini akan makan daun kering, kemudian najisnya berfungsi sebagai baja untuk ketumbuhan pokok.
Kitaran itu akan berulang. Menjelaskan cara penjagaan, Pei San berkata, ia hanya memerlukan bantuan minimum.
Antaranya, pastikan tanah yang disediakan sentiasa lembab dan berikan makanan seperti dahan kayu, daun kering atau tulang sotong.
“Pastikan makanan yang diberikan sudah dikeringkan secukupnya. Untuk daun, pastikan ia dibasuh bersih kerana mereka sensitif kepada bahan kimia.

DIGEMARI KANAK-KANAK
Serangga kecil ini kebanyakannya dilihat menggelikan kerana saiznya yang kecil selain kakinya yang lebih banyak.
Apa yang mengejutkan, serangga ini diminati oleh kanak-kanak dan generasi muda. Kata Pei San, kedainya kerap didatangi pelajar sekolah menengah yang singgah untuk membeli serangga itu dan dikumpul sebagai koleksi.
Katanya, pendedahan awal kepada kartun berkonsepkan haiwan turut menjadi faktor utama serangga itu diminati golongan itu.
“Kadang-kadang budak sekolah menengah datang singgah nak beli isopod. Seekor dalam RM2 ke RM15 bergantung pada jenis.
“Pernah juga ada kanak-kanak lapan tahun datang dan cerita pada kami tentang isopod. Dari situ saya nampak penerimaan serangga ini dalam kalangan mereka.
Tambahnya, serangga ini turut dibeli oleh golongan ibu bapa yang menjadikan ia sebagai bahan eksperimentasi bersama anakanak.
“Ada juga ibu bapa yang datang beli supaya boleh bermain bersama anak mereka,” katanya.










