PETALING JAYA: Mana-mana negara yang belum mengiktiraf Palestin sebagai negara berdaulat perlu memahami bahawa bahawa dunia semakin celik terhadap aspirasi dan perjuangan warga Palestin yang mencari keadilan akibat serangan bertalu-talu rejim Zionis Israel.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru seluruh negara untuk bersama-sama mengemudi sejarah lantas dan memungkinkan perubahan yang bermakna buat rakyat Palestin.
Selain merakamkan tahniah kepada Ireland, Norway dan Sepanyol kerana mengiktiraf Palestin, beliau berkata, ia menunjukkan memilih tiga negara itu untuk berada di landasan sejarah yang tepat serta berdiri tegak di atas jalur kemanusiaan dan prinsip keadilan.
Katanya, malah perkembangan itu membuktikan bahawa mereka memperakui hak rakyat Palestin kepada prinsip kedaulatan, maruah dan dalam menentukan nasib serta masa depan sendiri.
“Detik bersejarah ini menggerakkan dunia untuk lebih cepat mencapai dan memperteguh keamanan di benua Timur Tengah.
“Kepada negara-negara yang lain yang belum berbuat demikian, fahami fakta ini bahawa dunia semakin celik kepada aspirasi dan perjuangan warga Palestin dan usaha mereka dalam mencari dan menjelmakan keadilan tidak mampu tertahankan lagi.
“Ayuh bersama di garis ini dalam mengemudi sejarah lantas memungkinkan perubahan yang bermakna buat rakyat Palestin,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.
Rabu lalu, Ireland, Sepanyol dan Norway mengumumkan bahawa mereka mengiktiraf Palestin sebagai negara berdaulat berkuat kuasa pada 28 Mei ini.
Perdana Menteri Norway, Jonas Gahr Store membuat pengumuman tersebut di Oslo, manakala Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez di Madrid dan Perdana Menteri Ireland, Simon Harris di Dublin.
Langkah penuh bersejarah itu menyebabkan Israel mengarahkan duta besarnya di Norway dan Ireland pulang serta-merta. Tindakan sama dijangka turut dilakukan terhadap duta besarnya di Sepanyol.
Mereka menyifatkan keputusan itu sebagai langkah mempercepatkan usaha mendapatkan gencatan senjata dalam konflik Israel-Palestin.
Mereka turut menggesa negara-negara lain untuk mengikuti langkah mereka meskipun sekutu utama Israel, Amerika Syarikat bertentangan dengan pendirian mereka.
Zionis Israel melakukan serangan tanpa henti di bumi Gaza sejak 7 Oktober tahun lalu dan telah membunuh lebih daripada 35,000 rakyat Palestin. – UTUSAN










