Peguam UMNO Kelantan mahu bantu rangka Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I)

Peguam UMNO Kelantan mahu bantu rangka Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I)

NIK Saiful Adli Burhan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Peguam UMNO Kelantan mahu membantu kerajaan negeri untuk merangka semula draf peruntukan 16 Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) yang  dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan pada Februari lalu.

Pengerusinya Nik Saiful Adli Burhan berkata, langkah itu bertujuan memastikan proses tersebut selaras peruntukan kuasa negeri dalam menggubal peraturan mengikut Akta Mahkamah Syariah 1965.

“Kami tidak ingin melihat Kerajaan Kelantan terjun lubang sama buat kali kedua dan akhirnya isu ini memperlihatkan kecetekan ilmu pemimpin Islam.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya bimbang isu ini menjatuhkan maruah agama Islam di mata masyarakat dan pengamal undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Nik Saiful memberitahu, Perlembagaan Persekutuan merupakan undang-undang tertinggi negara.

Katanya, penggubalan serta pelaksanaan undang-undang syariah mestilah tidak melangkaui sempadan kuasa pelaksanaan undang-undang dan kehakiman oleh Mahkamah Syariah serta kuasa Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menggubal peraturan itu.

“Pada masa saya ingin mengingatkan semua pemimpin Pas supaya tidak menjadikan undang-undang ini sebagai alat politik untuk mengaut keuntungan.

“Hal ini kerana ada yang sanggup mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan umat Islam, serta meletakkan enakmen ini yang asalnya hanyalah bertaraf hukum takzir sebagai hukum Allah sehingga rakyat terkeliru ianya dengan Hudud dan Qisas,” ujarnya.

Nik Saiful turut menegaskan, UMNO sejak dari dahulu amat menyokong usaha mana-mana pihak untuk memartabatkan undang-undang syariah serta pelaksanaan hukum Islam atas umat Islam di negeri ini.

Katanya, hal ini kerana ia selaras dengan tuntutan agama.

Utusan Malaysia semalam melaporkan, Kerajaan Kelantan terus komited untuk menggubal semula 16 seksyen Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 yang dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan pada Februari lalu.

Menteri Besar Datuk Mohd. Nassuruddin Daud berkata, usaha itu selaras dengan usul yang diluluskan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada Mac lalu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×