LIPIS: “Jika dulu setiap pagi apabila tiba di sekolah, saya akan bertanya khabar setiap murid istimewa, malah murid lelaki saya akan peluk dan dukung, tetapi kini hanya tinggal kenangan.”
Demikian kata bekas guru Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Kebangsaan Wan Ibrahim (SKWI), Mohd. Bi.Mohd. Samsuri, 57, ketika menceritakan momen terindah bergelar guru pendidikan khas sebelum diduga dengan masalah kesihatan apabila diserang angin ahmar pada Januari 2022.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mohd. Bi berkata, banyak kenangan pahit manis sepanjang 26 tahun bertugas sebagai pendidik di sekolah terbabit bermula 1993 sebelum dinaikkan pangkat menjadi guru besar di SK Jerangsang pada 2020.
Menurutnya, beliau juga seorang daripada tenaga pengajar yang cukup aktif dalam membawa murid-murid istimewa bertanding dalam sukan para di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.
“Sepanjang terlantar sakit, ramai murid dan bekas anak murid datang bersama keluarga mereka menziarahi saya. Ada dalam kalangan murid saya ini tidak boleh bercakap langsung tapi bila melihat saya sakit, mereka tetap berusaha memberikan bahasa isyarat dan bertanya khabar saya.
“Saya sangat rindukan anak-anak istimewa ini, rindu mereka mengucapkan selamat hari guru malah ramai dalam kalangan ibu bapa murid istimewa ini masih mengingati saya hingga ke hari ini,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Permai Sejahtera di sini kelmarin.
Mengimbas kembali kejadian yang berlaku pada dirinya, Mohd. Bi yang juga bapa kepada empat cahaya mata berkata, beliau diserang angin ahmar sebaik pulang daripada menghias kelas di SKWI hingga menyebabkannya lumpuh separuh badan.
Dalam pada itu, beliau turut menasihati guru-guru yang dipilih untuk mengajar murid istimewa supaya sentiasa menyuburkan kasih sayang selain perlu bersabar dengan setiap tingkah murid berkenaan.
“Dulu semasa di sekolah sering saya beritahu kepada semua guru khususnya guru yang baharu ‘posting’, kalau tidak mampu menahan sabar dengan karenah anak-anak istimewa silalah tukar ke sekolah lain sebab bukan perkara yang mudah untuk memberi didikan kepada mereka,” katanya. – UTUSAN











