SHAH ALAM: Prosiding Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor didakwa tidak melindungi Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam membahas isu-isu sepanjang persidangan sehingga menyebabkan polis boleh mengambil tindakan terhadap anggotanya.
Perkara tersebut timbul apabila Ketua Pembangkangnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendakwa dipanggil polis untuk memberi keterangan berhubung perbahasannya dalam Sidang DUN Selangor pada Mac lalu.
Menurutnya, beliau diberi notis di bawah Seksyen 111 Kanun Tatacara Jenayah terhadap kenyataan serta perkara yang dibangkit dan dibahaskan dalam Sidang DUN sebagai Ketua Pembangkang dan ADUN Hulu Kelang.
“Tindakan mengeluarkan notis tersebut secara jelas melanggari perundangan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri 1959 dan adalah itu tidak berperlembagaan.
“Ia juga satu percubaan untuk menakut-menakutkan dan memberi tekanan kepada saya sebagai seorang ADUN di Selangor dan Ketua Pembangkang dalam menunaikan tanggungjawab dan fungsinya,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Tambahnya, peranan utama ADUN adalah menggubal undang-undang di dalam DUN dan bertekad memelihara dan melindungi keluhuran DUN dalam menunaikan fungsi-fungsi sebagai ‘august house’ di mana isu-isu rakyat akan di bahas, dipersoal, dianalisis dan dijawab oleh kerajaan secara bebas tanpa rasa takut atau memihak.
Dalam pada itu, Azmin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor menggesa Speaker DUN Selangor, Lau Weng San melindungi prosiding DUN dan mempertahankan hak kebebasan bersuara serta perbahasan yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.
“Hentikan semua dan mana-mana cubaan untuk menyekat kebebasan dan hak serta keistimewaan ADUN Selangor.
“Saya mengutuk sekeras-kerasnya intimidasi yang diarahkan kepada saya dan lanjutan daripada itu, terhadap kesemua ADUN Selangor. Itu adalah satu cubaan yang serius untuk menghalang kami daripada membangkitkan dan membahaskan isu-isu rakyat dan negeri. Itu adalah satu penghinaan kepada proses demokrasi di negara kita.
“Saya juga mengarahkan peguamcara saya untuk memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk menyemak tindakan dan/atau keputusan salah pihak polis mengeluarkan notis tersebut.
“Saya juga menyeru untuk menghentikan semua atau apa-apa tindakan untuk memulakan siasatan dan/atau mengambil apa-apa tindakan terhadap mana-mana ADUN Selangor,” jelasnya. – UTUSAN










