Bubar Parlimen pilihan terbaik - Utusan Malaysia

Bubar Parlimen pilihan terbaik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Membubarkan Parlimen adalah pilihan terbaik bagi Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sekiranya gagal membuktikan mempunyai majoriti mudah 112 ahli Parlimen apatah lagi jika Barisan Nasional (BN) menarik sokongan kepada Perikatan Nasional (PN).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Naib Pengerusi DAP Perak, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, keputusan Perhimpunan Agung UMNO 2020 semalam jelas membuktikan kerajaan pimpinan Muhyiddin kini goyah.

Katanya, langkah yang boleh dilakukan semua wakil rakyat UMNO dan BN ialah dengan membuat pengisytiharan secara terbuka menarik sokongan terhadap Muhyiddin walaupun di luar sidang Parlimen.

“Perkara ini kemudian dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memaklumkan Perdana Menteri sudah hilang kepercayaan dalam kalangan ahli Parlimen.

“Seandainya setiap blok sama ada PN atau BN mahupun Pakatan Harapan (PH) gagal membuktikan ada majoriti mudah, cara boleh dipertimbangkan adalah mengembalikan kepada rakyat untuk mendapatkan mandat baharu,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, Perdana Menteri perlu segera mengadakan sidang Parlimen bagi menyelesaikan kemelut yang berlaku berhubung isu sokongan terhadap kerajaan PN.

Katanya, Muhyiddin tidak boleh terus mengelak dan menggunakan pelbagai alasan untuk menangguhkan persidangan Parlimen.

“Sebagai Ahli Parlimen, jalan terbaik adalah selesaikan kemelut ini dengan segera, memanggil sidang Parlimen supaya tidak ada dakwa-dakwi tentang isu sokongan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, antara cara lain yang boleh menyelesaikan isu ini adalah penelitian daripada pihak istana sendiri.

“Kalau UMNO bersikap begitu, keadaan itu akan menjadikan PN tidak lagi mampu menjadi kerajaan dan pihak Istana perlu lihat kembali parti mana yang mempunyai majoriti untuk menjadi kerajaan,’’ katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad berpandangan Muhyiddin berkemungkinan menyambung tempoh darurat sehingga satu tempoh lain bagi mengelakkan sidang Parlimen diadakan.

Katanya, keadaan itu kini meletakkan negara terjerumus dalam porak-peranda sehingga memberi kesan buruk kepada ekonomi setelah para pelabur menyaksikan ketidakstabilan pentadbiran kerajaan sedia ada.

Ketua Whip PKR, Datuk Johari Abdul berkata, Perdana Menteri berhak menentukan waktu pembubaran Parlimen dengan sebelum itu beliau perlu mengambil kira pertimbangan semasa termasuk potensi untuk memenangi semula pilihan raya.

Sebaliknya beliau berkata dalam keadaan terdesak jika Muhyiddin gagal memperoleh sokongan ahli Parlimen, pilihan sedia ada adalah meletakkan jawatan atau membubarkan Parlimen. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×