LEMBAGA Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) merupakan sebuah badan berkanun yang ditubuhkan mengikut Akta Pembangunan Tanah 1956 (Akta 474).
Objektif utama penubuhan Felda adalah untuk meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat luar bandar melalui pembukaan kawasan tanah rancangan dan penempatan peneroka. Model yang diperkenalkan oleh
Felda melibatkan pemberian tanah dan bantuan sosioekonomi serta terlibat secara langsung dalam pembangunan dan pengurusan tanah.
Pada mulanya, aktiviti pertanian Felda tertumpu kepada getah namun kemudian, ia difokuskan kepada penanaman kelapa sawit. Lebih 98 peratus peneroka Felda adalah orang Melayu dan Felda telah memainkan peranan penting dalam memandu pembangunan negara secara inklusif dan bersistematik.
Kejayaan Felda merupakan sebuah kejayaan bertaraf antarabangsa. Bank Dunia pernah mengiktiraf Felda sebagai salah satu program pembangunan tanah yang paling berjaya di dunia yang mana ia telah berjaya melipatgandakan pendapatan peneroka antara 1980 hingga 2016.
Sumbangan terbesar Felda kepada negara ialah Felda telah berjaya mengeluarkan kira-kira 1 juta orang daripada belenggu kemiskinan. Tidak dapat dinafikan bahawa Felda merupakan tulang belakang pembangunan negara. Tanpa Felda, besar kemungkinan pembangunan negara tidak sepesat yang dilalui oleh Malaysia dalam tahun-tahun kritikal pembangunannya.
SUMBER BAHARU
Realitinya, Felda kini berdepan dengan pelbagai isu dan juga kritikan bukan sahaja daripada golongan peneroka tetapi juga pelbagai pihak lain. Pada masa sama, harga minyak sawit bergantung kepada harga global yang tidak menentu kerana berakhirnya kitaran super komoditi dan permintaan minyak sawit yang tidak dapat diramalkan.
Namun begitu, di bawah kepimpinan Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Felda bakal membentangkan pelan rancangan ekonomi kitaran jangka panjang bagi memperkasakan lagi sosioekonomi para peneroka. Pelan rancangan ini merupakan strategi jangka panjang dalam memastikan peneroka mendapat manfaat daripada hasil kelapa sawit secara optimum tanpa sebarang pembaziran sumber.
Ia merupakan sebuah konsep yang melibatkan proses guna, pulang dan cipta semula yang mana ia berbeza dengan ekonomi linear iaitu beli, guna dan buang. Selain dapat meningkatkan keupayaan para peneroka, pelan rancangan yang merangkumi inisiatif strategik itu turut memberi perhatian terhadap usaha mengoptimumkan penggunaan komoditi kelapa sawit di samping menerajui bidang alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) di negara ini.
Felda juga antara lain berhasrat menjadikan proses kitar semula sebagai satu peluang berpotensi tinggi yang menjana nilai ekonomi baharu. Setiap sumber kitar semula itu mempunyai hasil dan nilai selain membuka peluang kepada pengilang termasuk peneroka memperoleh manfaat dengan mencipta pelbagai produk daripada hasil sisa kelapa sawit.
Ketika ini, setiap tandan kelapa sawit di negara ini hanya menghasilkan kadar perahan minyak mentah (OER) sebanyak 23 peratus yang mendatangkan hasil pendapatan kepada peneroka. Manakala 77 peratus lagi adalah sisa yang sering dibuang, sedangkan ia mampu menghasilkan tenaga boleh guna kepada negara. Sisa yang dibuang ini sebenarnya mampu menjana hasil pendapatan yang sangat tinggi.
Selain itu, Malaysia turut berkemampuan dari segi sumber dan keupayaan untuk menghasilkan karbon kredit yang boleh dibekalkan untuk pasaran global sebagai sumber tenaga alternatif sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil.
Pelaksanaan penjanaan ekonomi baharu akan dapat meningkatkan keupayaan para peneroka, pelan rancangan serta mengoptimunkan penggunaan komoditi kelapa sawit di samping menerajui bidang alam sekitar. Penerapan perspektif berbeza mengenai ekonomi kitaran, proses kitar semula dan karbon kredit ini adalah kritikal supaya warga Felda dapat menjana pendapatan baharu.
HARI PENEROKA FELDA 2024 BAKAL LAKAR SEJARAH
Visi baharu untuk para peneroka diteruskan dengan penganjuran Hari Peneroka Felda 2024. Acara pada tahun ini agak berbeza dengan format pada tahun-tahun sebelumnya apabila Hari Peneroka 2024 pada tahun ini akan berlangsung selama tiga hari tiga malam bermula daripada 12 hingga 14 Julai 2024.
Dengan sokongan pelbagai kementerian dan penajaan daripada syarikat-syarikat korporat yang ingin turut serta dalam kemeriahan pada tahun ini, penganjuran Hari Peneroka Felda 2024 menjanjikan sebuah pengalaman bahau kepada semua yang bakal hadir.
Dijangka menarik lebih daripada 500,000 pengunjung bukan sahaja daripada warga Felda tetapi juga seluruh rakyat Malaysia, acara tahun ini merupakan wadah untuk mempamerkan inovasi, kelestarian dan warisan budaya, mencerminkan perjalanan dinamik Felda untuk melangkah dengan lebih yakin ke masa depan.
Penganjuran Hari Peneroka Felda 2024 pada tahun ini bertujuan menjadi satu platform besar yang memperlihatkan komitmen Felda terhadap peneroka dari pelbagai sudut sama ada dari sudut kelestarian alam sekitar, ketahanan ekonomi dan pembangunan komuniti secara menyeluruh.
Dijalankan selama tiga hari dan tiga malam, acara gilang-gemilang ini akan menampilkan pendekatan holistik dan inklusif dengan penganjuran pelbagai program yang mencerminkan keterlibatan semua pihak yang berkepentingan secara komprehensif.
Dari sudut kelestarian alam sekitar, sukan, kerohanian, pendidikan sehingga inovasi ekonomi, kesemua agenda di Hari Peneroka Felda 2024 dirancang dengan penuh teliti untuk menyorot pelbagai dimensi komitmen Felda terhadap warganya.
Hari Peneroka Felda tahun ini juga menandakan satu momen penting dalam usaha penjenamaan semula Felda. Dengan tema Segalanya Felda, acara ini akan memperkenalkan semula Felda kepada orang ramai, menonjolkan transformasinya menjadi jenama besar dalam pertanian lestari dan pembangunan komuniti.
Felda kini berdiri di ambang era baharu dan penganjuran Hari Peneroka Felda 2024 merupakan representasi usaha Felda yang berterusan dalam memartabatkan para peneroka dari pelbagai generasi.
Hari Peneroka Felda 2024 bukanlah sekadar festival; ia adalah satu deklarasi kemajuan, ketahanan dan harapan. Ia adalah jemputan kepada semua untuk menyaksikan dan menjadi sebahagian dari perjalanan Felda ke arah masa depan yang lestari dan sejahtera. – UTUSAN
NURUL Ashiqin Shamsuri adalah generasi ketiga Feldarian dan sedang mengikuti pengajian ijazah doktor falsafah di Asia Pacific University.











