POKOK SENA: “Wajah arwah cerah, berseri-seri. Saya sendiri mencemburui kematian isteri. Tambahan pula arwah meninggal dunia ketika beribadat pada malam Jumaat”
Demikian kata Ishak Mat Saman, 65, suami kepada wanita yang meninggal dunia ketika beribadat di Masjid Zahir, Alor Setar, semalam.
Menurutnya, walaupun masih bersedih dan terkejut dengan insiden tersebut, namun dia sekeluarga reda dengan pemergian Rosnah Ramli, 60.
“Saya reda kerana insya-Allah, kematian arwah husnul khotimah. Arwah memang banyak amalan di sebalik kesibukan menguruskan keluarga. Dia membaca al-Quran dan tafsir setiap hari. Sepertiga malam arwah akan bangun untuk solat tahajjud.
“Saya dapat rasakan amalan itu yang menjadikan pahala sehingga kematiannya dicemburui. Saya sendiri tengok wajahnya sebelum dikafankan, dia memang putih kulitnya tetapi tadi nampak cerah berseri-seri,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Keranji di sini, semalam.
Terdahulu Allahyarham Rosnah dikebumikan di Masjid Al Kauthar, Kampung Keranji dengan kehadiran anggota keluarga dan penduduk kampung.
Menurut Ishak, ketika kejadian, mereka berdua bersama dua cucu yang berusia tujuh dan lapan tahun ke Masjid Zahir untuk menunaikan solat maghrib dan membaca Yasin berjemaah.
“Arwah rebah ketika kami membaca doa selepas bacaan Yasin. Saya berada bersama jemaah lelaki di hadapan sebelum dipanggil oleh cucu. Katanya, mak (panggilan untuk Rosnah) rebah.
“Apabila saya berjumpanya, dia kata dia okey. Saya kembali ke depan kerana isteri memang ada penyakit sawan. Tetapi selepas itu saya tengok jemaah perempuan mengerumuni dia dan melulu ke situ. Isteri sudah meninggal dunia,” katanya.
Jelasnya, mereka berdua sering mengunjungi masjid di sekitar Pokok Sena dan Alor Setar untuk solat berjemaah.











