Liga Arab gesa PBB hantar pasukan pengaman ke Gaza 

Liga Arab gesa PBB hantar pasukan pengaman ke Gaza 

RAJA Bahrain, Raja Hamad Isa Al Khalifa menyambut ketibaan Presiden Palestin, Mahmud Abbas semasa sidang kemuncak Liga Arab kali ke-33 di Manama, Bahrain. -AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANAMA: Liga Arab menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menghantar pasukan pengaman ke wilayah bergolak di Gaza bagi membendung krisis kemanusiaan yang semakin parah. 

Barisan pemimpin Asia Barat itu juga mengesyorkan persidangan damai antarabangsa dianjurkan bagi membincangkan isu Israel-Palestin.  

Mereka turut menggesa ‘perlindungan antarabangsa dan pasukan pengaman PBB di wilayah Palestin yang diduduki’ sehingga penyelesaian dua negara dilaksanakan berdasarkan kenyataan terakhir selepas mesyuarat di Manama. 

Raja Bahrain, Raja Hamad Isa Al Khalifa dan Presiden Palestin, Mahmud Abbas turut menggesa supaya dianjurkan ‘persidangan antarabangsa di bawah naungan PBB’ untuk menangani isu Palestin berdasarkan penyelesaian dua negara.

Pertemuan ketua-ketua negara dan kerajaan Arab itu bersidang di Bahrain selepas lebih tujuh bulan konflik di Gaza menggegarkan Asia Barat dan mendapat perhatian global.

Sidang kemuncak kali ke-33 yang terdiri daripada 22 negara anggota itu didominasi isu berkaitan perang antara rejim Zionis dan pejuang Hamas.

‘Deklarasi Manama’ yang diutarakan oleh negara-negara Arab itu menggesa ‘semua pihak di Palestin untuk bergabung di bawah payung Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO)’ yang dikuasai oleh pimpinan Abbas.

Deklarasi itu mengiktiraf PLO sebagai ‘satu-satunya wakil rakyat Palestin yang sah’.

Untuk rekod, ini adalah kali pertama blok itu bersatu sejak sidang kemuncak luar biasa di Riyadh, pada November lalu, yang turut melibatkan pemimpin daripada 57 anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang berpangkalan di bandar Jeddah, Arab Saudi.

Sementara itu, Presiden Palestin, Mahmud Abbas berkata, pesaing politiknya, Hamas yang melancarkan serangan 7 Oktober lalu di selatan Israel hanya memberikan ruang kepada Israel untuk mencipta lebih banyak alasan dan justifikasi serangan balas terhadap Semenanjung Gaza. 

 “Operasi ketenteraan yang dilakukan oleh Hamas dengan keputusan sebelah pihak pada 7 Oktober itu, memberikan Israel lebih banyak alasan dan justifikasi untuk menyerang Semenanjung Gaza,” katanya semasa sidang kemuncak itu. 

Hamas berasa kesal terhadap kenyataan Abbas yang menuduh pihaknya memberi ‘alasan’ kepada Israel untuk melancarkan perang terhadap Gaza.

“Kami menyatakan kekesalan berhubung kenyataan yang dibuat oleh Presiden Palestin semasa sidang kemuncak Arab di Manama,” kata kumpulan pejuang itu. -AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×