Afrika Selatan tuntut ICJ ‘ikat’ kejahatan Israel

Afrika Selatan tuntut ICJ ‘ikat’ kejahatan Israel

SUASANA mahkamah bersidang dalam ICJ, Istana Keamanan, The Hague, Belanda. -AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

THE HAGUE: Afrika Selatan memfailkan dokumen permohonan bagi meminta mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memerintahkan pencerobohan Israel dihentikan serta-merta di Rafah.

Hal ini berikutan negara itu menyifatkan kejadian di Rafah sebagai operasi pembunuhan beramai-ramai yang mengancam kelangsungan hidup rak­yat Palestin.

PERBICARAAN SELAMA DUA HARI

Peguam terkemuka untuk negara itu memulakan dua hari perbicaraan di Istana Keamanan, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bagi memohon hakim meme­rintahkan gencatan senjata di seluruh Gaza.

Bagaimanapun, Israel dilaporkan akan memberi maklum balas mengenai tuntutan itu, hari ini.

Israel sebelum ini menekankan komitmennya yang tidak berbelah bahagi untuk mene­gakkan undang-undang antarabangsa dan menyifatkan kes Afrika Selatan sebagai tidak berasas sama sekali dan menjijikkan secara moral.
Dalam ketetapan yang menjadi tajuk utama media di seluruh dunia, ICJ pada Januari lalu me­ngarahkan Israel menghentikan pembunuhan beramai-ramai dan membolehkan bantuan kemanusiaan ke Gaza.

PERINTAH BAHARU ICJ

Tetapi mahkamah tidak mengarahkan gencatan senjata dan hujah Afrika Selatan ialah situa­si di lapangan terutamanya operasi Rafah memerlukan perintah ICJ yang baharu.

“Seperti yang ditunjukkan oleh banyak bukti, cara Israel meneruskan operasi keten­tera­annya di Rafah dan di tempat lain di Gaza adalah pembunuhan beramai-ramai.

“Ia mesti diarahkan untuk berhenti,” kata Afrika Selatan dalam dokumen penyerahannya ke ICJ, semalam.

Perintah ICJ adalah mengikat di sisi undang-undang, tetapi sedikit cara untuk menguatkuasakannya.

Sebelum ini, ICJ mengarahkan Russia untuk menghentikan pencerobohannya ke atas Ukraine, tetapi tidak berjaya.

TIGA PERINTAH KECEMASAN

Afrika Selatan meminta ICJ untuk tiga perintah kecemasan iaitu langkah sementara dalam jargon mahkamah sementara mereka memutuskan tuduhan yang lebih meluas bahawa Israel melanggar Konvensyen Genosid PBB 1948.

Pertama, Afrika Selatan mahu mahkamah mengarahkan Israel berundur serta-merta dan menghentikan serangan tenteranya di Rafah.

Kedua, Israel harus mengambil semua langkah berkesan untuk membenarkan akses tanpa halangan ke Gaza untuk pekerja bantuan kemanusiaan serta wartawan dan penyiasat.

Akhir sekali, Afrika Selatan meminta mahkamah memastikan Israel melaporkan kembali langkah-langkah yang diambil untuk mematuhi perintah itu.

LEBIH 600,000 MELARIKAN DIRI DARI RAFAH

Rabu lalu, Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi pelarian Palestin (UNRWA) berkata bahawa 600,000 orang melarikan diri dari Rafah sejak operasi ketenteraan diperhebat di tengah-tengah pertempuran dan pengeboman Israel di kawasan itu.

“Sebagai hab kemanusiaan utama untuk bantuan kemanusiaan di Gaza, jika Rafah jatuh, Gaza juga akan jatuh.

“Dalam menyerang Rafah, Israel sedang menyerang ‘perlindungan terakhir’ di Gaza dan satu-satunya kawasan di semenanjung yang masih belum dimusnahkan de­ngan ketara oleh Israel,” kata Afrika Selatan dalam penyerahan dokumennya.

GENCATAN SENJATA KEKAL

Afrika Selatan menegaskan pandangannya bahawa satu-satunya cara untuk perintah mahkamah sedia ada dilaksanakan ialah gencatan senjata kekal di Gaza.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berulang kali berkata bahawa Israel tidak boleh mengalahkan Hamas tanpa menghantar tentera darat ke Rafah untuk mencari baki pejuang yang masih ada.

Tetapi sekutu utama Israel, Amerika Syarikat dan Ke­satuan Eropah (EU) serta PBB, semuanya memberi amaran terhadap operasi besar di Rafah memandangkan ia akan menambah jumlah korban awam.

Operasi ketenteraan Israel di Gaza dilancarkan sebagai tindakan balas terhadap sera­ngan Hamas pada 7 Oktober yang mengorbankan lebih 1,170 orang, kebanyakannya orang awam, dan menyaksikan kira-kira 250 tebusan diambil, menu­rut pengiraan AFP me­ngenai angka rasmi Israel.

Tentera Israel melakukan pengeboman tanpa henti dari udara dan serangan darat di dalam Gaza yang membunuh lebih 35,000 orang, kebanyakannya orang awam, menurut kementerian kesihatan Gaza. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×