Perayaan, tradisi rapatkan jurang antara kaum, agama

Perayaan, tradisi rapatkan jurang antara kaum, agama

PERAYAAN bertindak sebagai penghubung sosial yang kuat dalam kalangan rakyat Malaysia. – UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

Malaysia sebuah negara yang kaya dengan pelbagai budaya, agama dan tradisi menyaksikan perayaan yang meriah sepanjang tahun. Setiap komuniti etnik dan agama menyambut perayaan mereka dengan penuh semangat dan keghairahan. Namun, di tengah-tengah kepelbagaian ini, terdapat satu ciri unik yang mewarnai perayaan-perayaan di Malaysia – budaya toleransi.

Perayaan-perayaan yang diadakan oleh pelbagai kaum dan agama bukan sahaja menjadi platform untuk meraikan warisan dan kepercayaan masing-masing, tetapi juga membentuk jambatan kefahaman dan mengukuhkan hubungan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Salah satu perayaan yang paling menonjol di Malaysia adalah Hari Raya Aidilfitri, dirayakan oleh masyarakat Islam setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan. Meskipun ia merupakan perayaan agama Islam, semangat kegembiraan dan kemeriahan menyeluruh di seluruh negara.

Semua rumah yang menyambut hari raya biasanya dibuka atau dipanggil rumah terbuka untuk mengalu-alukan tetamu dari pelbagai latar belakang untuk menikmati juadah lazat yang disediakan. Ini menunjukkan sikap terbuka dan kasih sayang antara rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang agama dan budaya.

Terdapat juga perayaan Deepavali, perayaan yang dirayakan oleh masyarakat Hindu. Deepavali, atau juga dikenali sebagai Festival Cahaya melambangkan kemenangan kebaikan ke atas kejahatan. Di Malaysia, Deepavali disambut dengan penuh semangat oleh semua lapisan masyarakat. Rumah-rumah dihiasi dengan lampu-lampu berwarna-warni dan lilin berminyak untuk memeriahkan suasana. Rakan sekerja, jiran tetangga dan rakan-rakan dari pelbagai agama sering berkongsi kuih-muih tradisional dan menyertai perayaan bersama, memperlihatkan kesatuan dan hormat-menghormati antara satu sama lain.

Tidak dilupakan, perayaan Tahun Baru Cina yang dirayakan oleh masyarakat Cina di seluruh Malaysia. Walaupun ia perayaan orang Buddha atau Cina, semangat kegembiraan dalam kalangan semua lapisan masyarakat. Tradisi seperti memberikan angpau, menghias rumah dengan hiasan merah, sering kali dikongsi dan dihayati oleh masyarakat dari pelbagai latar belakang budaya.

Terdapat juga perayaan-perayaan lain seperti Krismas, Hari Wesak, Hari Gawai dan banyak lagi yang dirayakan oleh komuniti Kristian, Buddha dan etnik bumiputera Sabah dan Sarawak. Semua ini menambah kepelbagaian budaya dan merapatkan jurang antara pelbagai kaum dan agama di Malaysia.

Perayaan-perayaan ini tidak hanya memberikan kesempatan untuk meraikan dan menghargai warisan budaya masing-masing, tetapi juga bertindak sebagai penghubung sosial yang kuat dalam kalangan rakyat Malaysia. Mereka memupuk nilai-nilai seperti kesabaran, pengertian dan menghormati perbezaan, yang penting untuk memperkukuhkan integrasi dan keharmonian dalam masyarakat yang majmuk.

Perayaan-perayaan di Malaysia bukan sahaja membawa kegembiraan dan keceriaan, tetapi juga merupakan medium untuk memperkukuhkan budaya toleransi dan kesatuan dalam kalangan rakyatnya. Ia adalah satu mesej yang penting bahawa dalam kepelbagaian kita, terdapat kekuatan dalam kesatuan dan kekuatan ini mampu mengatasi segala rintangan yang mungkin dihadapi.

Budaya toleransi di Malaysia bukan sekadar slogan, tetapi merupakan satu realiti yang nyata yang menyatukan rakyat Malaysia sebagai sebuah negara yang bertoleransi dan berpadu dalam membangunkan Malaysia Madani sebagaimana yang dicetuskan oleh Perdana Menteri. – UTUSAN

SYED MOHAMAD AL ADROS TUAN MUNING
Timbalan Ketua Pusat Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×