PUTRAJAYA: Rayuan pihak pendakwaan untuk mengetepikan hukuman penjara 18 tahun terhadap enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) kerana menyebabkan kematian Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain, akan diputuskan oleh Mahkamah Rayuan pada 23 Julai ini.
Mereka ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd. Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd. Ali. Kesemuanya kini berusia 28 tahun.
Pada tarikh itu, panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Hadhariah Syed Ismail juga akan menentukan rayuan pendakwaan agar keenam-enamnya dikenakan hukuman mati kerana membunuh Zulfarhan.
Mahkamah turut akan membuat keputusan sama ada untuk mengembalikan Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang sebelum ini dipertuduhkan terhadap mereka, atau mengekalkan Seksyen 304(a) yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.
Beliau yang bersidang bersama-sama Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin menetapkan tarikh itu selepas mendengar penghujahan kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan selama tiga hari bermula Selasa lalu.
Mahkamah mendengar rayuan pihak pendakwaan yang tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi pada 2021 yang menggantikan tuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kepada Seksyen 304(a) iaitu menyebabkan kematian tanpa niat membunuh Zulfarhan.
Pendakwaan sebaliknya mahukan sabitan dan hukuman penjara 18 tahun yang dikenakan terhadap keenam-enamnya diketepikan dan digantikan dengan hukuman gantung.
Mereka disabitkan menyebabkan kematian Zulfarhan, 21, di sebuah bilik di blok penginapan Asrama Jebat, UPNM antara pukul 4.45 pagi dan pukul 5.45 pagi, 22 Mei 2017.
Pihak pendakwaan juga merayu agar hukuman penjara tiga tahun yang dikenakan terhadap 12 bekas penuntut lain kerana mencederakan Zulfarhan, ditambah kepada hukuman penjara maksimum tujuh tahun.
Kesemua 12 mereka ialah Mohd. Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri Agus, Muhammad Sufi Mohd. Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhamad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif Ismail, Muhammad Adib Iman Fuad Adi Sany dan Mohamad Syazwan Musa.
Bagaimanapun, mereka belum menjalani hukuman itu selepas Mahkamah Tinggi membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman dengan jaminan RM7,000 dikekalkan sementara menunggu rayuan diputuskan.
Perbuatan mencederakan Zulfarhan dilakukan di dalam sebuah bilik blok penginapan Asrama Jebat universiti itu di Kem Perdana, Sungai Besi antara pukul 2.30 pagi dan pukul 5.30 pagi 21 Mei 2017 manakala mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017.-UTUSAN











