'Kami tidak lena tidur fikir nyawa di hujung tanduk'

‘Kami tidak lena tidur fikir nyawa di hujung tanduk’

KEADAAN runtuhan tebing yang berlaku di perumahan Cassia Garden Residence, Cyberjaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: “Setiap hari saya dan keluarga tidak lena tidur fikirkan insiden tebing runtuh yang berlaku betul-betul di hadapan rumah saya.”

Itu luahan seorang penduduk di Cassia Garden Residence, Roesman Uthman, 62, yang bimbang keadaan runtuhan semakin buruk dan menghakis terlalu cepat sekali gus menghampiri rumahnya.

“Rumah saya betul-betul berada di depan cerun ini, saya tak berapa lena tidur, hari-hari saya pantau berapa jauh lagi tinggal jarak antara rumah dengan kawasan runtuhan.

“Saya amati hanya masih tinggal zon penampan terakhir, kalau ia jatuh, ia akan melibatkan jalan keluar utama ini kira-kira 6 meter. Jadi kita harap tiada pergerakan tanah lebih teruk lagi,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

ROESMAN UTHMAN

Terdahulu, Timbalan Menteri Perumahan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu meninjau kawasan runtuhan berkenaan sekali gus mengarahkan Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) melakukan kerja-kerja baik pulih segera.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan kira-kira 1,000 penduduk di perumahan itu bimbang keadaan runtuhan tebing di kawasan berhampiran mengundang bahaya dan berisiko mengancam nyawa.

Lebih membimbangkan, runtuhan tebing itu yang dikesan hampir sebulan lalu sudah membentuk kawah sedalam 8 hingga 10 meter atau bersamaan tinggi bangunan tiga tingkat kini semakin menghampiri kawasan kediaman penduduk.

Berdasarkan tinjauan, runtuhan itu sudah menghakis sepanjang 10  hingga 15 meter dan sudah pun meruntuhkan benteng pagar batu antara tebing dengan perumahan itu.

Roesman berkata, dia yang tinggal di situ sejak empat tahun lalu memaklumkan, kejadian seumpama ini kali pertama berlaku dan selamat diduduki.

“Masalahnya sekarang kerap hujan lebat boleh memburukkan lagi keadaan, bila air banyak melimpah, ia akan menghakiskan tanah di bawah pembetung.

“Kami tidak pernah diberitahu (mengenai impak bencana), saya rasa semua penduduk anggap kawasan sini selamat.

“Saya harap tidak akan (keluar berpindah) setakat ini saya tengok  masih selamat, namun saya terpaksa halang jalan (dari kenderaan berat) masuk di sini,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Mohd. Anizan Mohd Ali , 42, berkata, kejadian mula berlaku pada 25 April lalu dan aduan telah dibuat sehari selepas insiden kepada semua pihak berkuasa berkaitan termasuk pemaju perumahan.

MOHD ANIZAN MOHD ALI

Katanya, selepas selang seminggu, runtuhan berlaku lebih teruk sehingga meruntuhkan benteng pagar batu antara tebing dengan perumahan itu.

“Pergerakan tanah masih aktif, buat sementara ini kita tak benarkan kenderaan masuk kecuali lori sampah sahaja.

“Kita amat bersyukur ada jaminan pembaikan dilakukan dan berharap ia berjalan seperti mana yang dimaklum oleh Timbalan Menteri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×