KOTA KINABALU: Tiga bekas Ketua Menteri Sabah iaitu Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan Datuk Seri Yong Teck Lee hadir di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu hari ini bagi mendengar rayuan berkaitan isu pembayaran 40 peratus hasil kepada negeri itu.
Pekarangan kompleks mahkamah itu turut dipenuhi orang ramai sebagai tanda solidariti memberi sokongan kepada Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) yang sebelum ini mendapat kebenaran melakukan semakan kehakiman berkaitan 40 peratus hasil kepada negeri.
Selain kehadiran bekas-bekas Ketua Menteri, pemimpin politik dari pelbagai parti turut berada di pekarangan mahkamah untuk menyokong SLS dalam mempertahan hak Sabah berkaitan tuntutan hasil 40 peratus.
Antara pemimpin politik yang hadir ialah Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau; Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Aru, Datuk Junz Wong.
Mahkamah Rayuan hari ini akan mendengar rayuan Kerajaan Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memberi kebenaran kepada SLS mendapatkan semakan kehakiman berkaitan 40 peratus hasil kepada negeri.
Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan permohonan bagi mencabar keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu untuk memberi kebenaran (locus standi) kepada SLS mendapatkan semakan kehakiman terhadap geran khas 40 peratus kepada Sabah.
SLS memfailkan semakan kehakiman pada 9 Jun 2022 untuk membatalkan pewartaan Kerajaan Persekutuan dalam memberi geran tahunan RM125.6 juta untuk Sabah, dengan menyatakan ia tidak mengikut hasil negeri di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).-UTUSAN











