SEREMBAN: Kegiatan pengedaran dadah dipercayai untuk pasaran di selatan tanah air tumpas dengan penahanan enam lelaki dan rampasan dadah dipercayai jenis syabu dengan nilai sebanyak RM416,006.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, bertindak atas maklumat dalam Op Tapis, sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan telah menahan enam suspek lelaki di tepi jalan Sungai Ujong berhadapan Stesen Bas Terminal One di sini pada pukul 9 malam, 12 Mei lalu.
“Suspek terdiri daripada dua lelaki tempatan dan empat lelaki warga asing yang berusia antara 28 hingga 46 tahun.
“Hasil pemeriksaan dalam kereta suspek menjumpai lima bungkusan dadah disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 5,203 gram,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Ahmad Dzaffir berkata, berdasarkan siasatan dadah tersebut dipercayai adalah untuk pasaran selatan Semenanjung Malaysia dan boleh dibekalkan kepada 10,406 penagih dadah jenis syabu.
“Jumlah keseluruhan nilai rampasan dan sitaan dadah adalah RM416,006. Hasil ujian saringan awal air kencing ke atas kesemua suspek mendapati seorang suspek warga asing positif dadah jenis Methamphetamine,” katanya,
Tambah beliau, hasil semakan rekod kesalahan lampau mendapati suspek warga tempatan mempunyai satu rekod berkaitan kes jenayah dan tiga kes narkotik.
“Kesemua suspek telah ditahan reman tujuh hari bermula 13 Mei hingga 19 Mei depan untuk siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.-UTUSAN.









