KAHERAH: Ketua Hamas, Ismail Haniyeh menyalahkan Israel atas kebuntuan dalam rundingan gencatan senjata Gaza selain mengulangi tuntutan utama termasuk perjanjian menamatkan serangan Israel secara kekal di kawasan terkepung itu.
Awal bulan ini, kumpulan Palestin itu berkata, mereka bersetuju dengan cadangan gencatan senjata daripada pengantara Qatar dan Mesir yang diterima Israel sebelum ini.
Bagaimanapun, Israel mempertikaikan perkara ini dan berkata cadangan tiga fasa itu diluluskan oleh Hamas serta tidak boleh diterima kerana syarat dikurangkan.
Rundingan gencatan senjata di Kaherah, Mesir terputus bulan ini tanpa persetujuan.
“Mereka juga memperkenalkan pindaan kepada cadangan yang meletakkan rundingan itu menemui jalan buntu,” kataIsmail yang berpangkalan di Qatar, dalam ucapan di televisyen.
Ismail berkata, kumpulannya bertekad untuk meneruskan semua cara yang ada untuk menamatkan perang di Gaza, membuka pintu kepada lebih banyak usaha pengantaraan, tetapi dia berpegang pada tuntutan utama kumpulan itu.
“Sebarang usaha atau perjanjian mesti menjamin gencatan senjata kekal, penarikan diri menyeluruh dari seluruh Gaza, perjanjian pertukaran tahanan sebenar, pemulangan orang yang kehilangan tempat tinggal, pembinaan semula, dan menarik balik sekatan,” kata Ismail.
Israel berkata, mereka mahu mencapai perjanjian tahanan untuk tebusan tetapi setakat ini menolak sebarang komitmen untuk menamatkan serangan tentera di Gaza yang dikatakan bertujuan untuk memusnahkan Hamas. -REUTERS










