BAITULMUQADDIS: Para pemimpin Arab sedang merancang untuk menyokong Gaza selepas perang iaitu membentuk sebuah negara Palestin.
Namun, usaha itu bakal dihalang oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dan kerajaan Israel yang kini dipimpin oleh Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu.
NETANYAHU MENENTANG
Netanyahu merupakan penentang tegas kepada usaha penyelesaian dua negara.
Bagaimanapun, para pemimpin Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi, Qatar, Jordan dan Mesir menjelaskan bahawa sokongan kewangan dan politik mereka akan menjadi penting untuk masa depan Gaza yang hancur.
Hal ini berikutan membangunkan semula Gaza akan memerlukan kos.
“Kami menyelaraskan perkara ini secara rapat dengan rakyat Palestin. Ia perlu benar-benar mempunyai laluan ke negara Palestin.
“Tanpa laluan politik sebenar, ia akan menjadi sangat sukar bagi negara-negara Arab untuk membincangkan bagaimana mereka akan mentadbir,” kata Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal Farhan.
USAHA BUKAN KALI PERTAMA
Ia bukan kali pertama pemimpin Arab berkumpul untuk merangka jalan ke arah penyelesaian dua negara.
Malah, matlamat mereka adalah meredakan ketegangan di Asia Barat dan membantu memulakan tempoh kemakmuran.
Bulan lalu, di luar Forum Ekonomi Dunia, menteri-menteri luar Eropah dan Arab bertemu untuk membincangkan cara memajukan penyelesaian dua negara berkenaan.
Gaza juga akan menjadi agenda utama apabila pemimpin dari 22 kumpulan Liga Arab bertemu di Bahrain.
Negara-negara Arab menekan AS untuk mencapai dua perkara iaitu menubuhkan negara Palestin dan mengiktirafnya di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” kata seorang diplomat Arab yang biasa dengan rundingan itu.
“Apa yang kini menghalang usaha intensif ini ialah kesinambungan perang dan penolakan Netanyahu yang tidak sabar,” kata diplomat itu, bercakap dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan.
CUBA BEKERJASAMA DENGAN BIDEN
Dalam pada itu, Pengarah Program Asia Barat dan Afrika Utara di badan pemikir Chatham House Britain, Sanam Vakil berkata, pemimpin Arab cuba bekerjasama dengan pentadbiran Biden untuk saling menyokong rancangan selepas itu (perang).
Inti kepada rancangan mereka ialah reformasi Pihak Berkuasa Palestin (PA) bagi membuka jalan pentadbiran supaya bersatu semula di Tebing Barat dan Gaza yang diduduki.
PA hampir tidak mempunyai pengaruh ke atas Gaza sejak kumpulan Hamas bergelut mengawal wilayah itu daripada gerakan Fatah, Presiden Mahmud Abbas pada 2007.
“Kami percaya kepada satu kerajaan Palestin yang sepatutnya bertanggungjawab ke atas Tebing Barat dan Gaza,” kata Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman Al-Thani.
Peralihan itu seharusnya tidak menjejaskan perjuangan Palestin atau melemahkan Pihak Berkuasa Palestin, katanya kepada Forum Ekonomi Qatar di Doha bulan lalu.
Pada bulan Mac lalu, Presiden Palestin meluluskan kerajaan yang dipimpin oleh perdana menteri yang baru dilantik, Mohammed Mustafa yang mahu ia memainkan peranan dalam Gaza selepas perang. – AGENSI










