PUTRAJAYA: Jabatan Landskap Negara diarahkan untuk mengenal pasti spesis pokok yang sesuai untuk ditanam di kawasan bandar yang tidak mengundang bahaya kepada orang awam.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, perkara itu dibincangkan menerusi mesyuarat Kabinet hari ini dan kerja-kerja berkaitan akan dilaksanakan dalam masa terdekat oleh jabatan berkenaan.
“Pagi ini Mesyuarat Kabinet membincangkan di mana Jabatan Landskap Negara diberikan amanah untuk mengenal pasti spesis pokok yang sesuai ditanam dalam kawasan kota iaitu di sepanjang jalan demi menjaga keselamatan orang awam,” katanya dalam siding akhbar selepas majlis prapelancaran Hari Landskap Negara 2024 (HLN 2024) di sini hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu setiap pohon yang terpaksa ditebang, digantikan dengan 100 pokok baharu yang wajib ditanam semula.
Ia susulan beberapa insiden pokok tumbang di ibu kota dalam masa sebulan hingga ada yang maut akibat insiden tersebut itu.
Insiden yang berlaku pada 7 Mei lalu di Jalan Sultan Ismail itu menyebabkan seorang lelaki maut dan seorang cedera selepas dihempap sebatang pokok tumbang susulan hujan lebat dan angin kencang.
Terbaharu, insiden pokok tumbang berlaku di ibu negara di hadapan Kuwait Bank, berdekatan Jalan Pinang sehingga hampir mengenai kenderaan dinaiki Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.
Kor Ming berkata, pihak kementerian bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sentiasa memandang serius tentang keselamatan orang awam dan mempunyai jadual dalam penyelenggaraan pokok.
Katanya, pihaknya mengenal pasti 1,300 pokok yang telah berusia 50 tahun dan ke atas dan arahan segera dikeluarkan kepada jabatan berkaitan untuk menyelenggara pokok yang dikenal pasti berbahaya kepada orang awam.
“Difahamkan pagi ini tinggal 28 pokok yang perlu diselenggara dan akan memastikan pemeliharaan, penggantian serta pembajaan pokok dilaksanakan mengikut jadual.
“Bagaimanapun, perlu diketahui tidak semua pokok di bawah bidang kuasa kerajaan kerana ada pokok milik swasta dan pokok di bawah kawal selia pihak berkuasa tempatan. Setelah siasatan pokok yang tumbang itu mendapati pokok itu berusia 128 tahun.
“Pokok itu sudah uzur dan sebenarnya sudah ada rancangan untuk selenggara pokok itu cuma nasib malang sebelum DBKL sempat selenggara, hujan lebat dan rebut berlaku (sehingga menumbangkan pokok itu). Namun kita ambil iktibar kerja-kerja selenggara pokok dijalankan segera,” katanya. – UTUSAN











