Bina jejambat RM100 juta atasi trafik sesak Seri Kembangan

Jejambat RM100 juta atasi trafik sesak Seri Kembangan

KEADAAN kesesakan lalu lintas pada waktu puncak dari persimpangan Persiaran Alpinia sehingga Jalan Putra Permai menuju ke Bandar Taman Equine, di Seri Kembangan, Selangor. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERI KEMBANGAN: Masalah kesesakan lalu lintas di kawasan Bandar Putra Permai, di sini bakal diselesaikan melalui pembinaan jejambat atau persimpangan bertingkat yang dibina seawal hujung tahun depan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Serdang, Abbas Azmi berkata, perkara itu diputuskan hasil perbincangan bersama Lembaga Lebuh Raya (LLM), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan Jabatan Kerja Raya (JKR), baru-baru ini sebagai langkah penyelesaian yang dihadapi penduduk sekian lama.

Kata beliau, pembinaan jejambat itu adalah alternatif kepada isu missing link atau jalan perhubungan terputus yang sepatutnya dibina pemaju di kawasan ini sehingga mengakibatkan berlaku kesesakan teruk terutama pada waktu puncak.

“Kalau nak tunggu pembinaan missing link ini kita tak tahu bila pemaju nak buat dan kita tidak boleh tekan mereka untuk melaksanakannya kerana itu tanah dia. Mereka hanya mahu buat selepas pembangunan siap dijual, jadi lama lagi nak tunggu.

“Sebagai alternatif, sebanyak tiga jejambat akan dibina di sini dengan kos lebih RM100 juta yang diyakini dapat menyuraikan trafik sekurang-kurangnya 50 peratus. Saya akan bawa isu ini dalam sidang DUN pada Julai ini,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan lebih 60,000 penduduk sekitar Bandar Putra Permai terpaksa menghadap kesesakan lalu lintas saban hari ekoran ketiadaan beberapa jalan penghubung antara taman perumahan yang terbengkalai lebih 15 tahun lalu.

Bandar Putra Permai mempunyai 13 taman perumahan dan penduduknya tiada akses jalan keluar mencukupi mengakibatkan berlaku kesesakan terutama pada waktu puncak.

Memburukkan keadaan, penduduk di Taman Lestari Putra misalnya, terpaksa menggunakan jalan jauh kira-kira enam kilometer untuk keluar ke jalan utama terutama ke arah satu-satunya sekolah di Taman Desaminium berbanding 800 meter jika jalan penghubung itu dibina.

Banyak projek pembangunan perumahan baharu dibina termasuk pembinaan Trafik Aliran Massa (MRT), namun jalan akses yang disyaratkan MBSJ kepada pemaju gagal dipatuhi mengakibatkan penduduk terus berhadapan masalah kesesakan tanpa penyelesaian.

Dalam pada itu, menurut Abbas, kawasan bandar Putra Permai ketika ini sangat padat apatah lagi tanpa ada jalan akses tambahan dibina.

Untuk itu, beliau tidak akan menyokong sebarang pembangunan baharu untuk dibina di sini selagi tidak ada perancangan membina jalan akses terlebih dahulu.

“Saya sudah beritahu kepada Datuk Bandar MBSJ, saya bukan menolak pembangunan di bandar ini tetapi kena pastikan ada akses jalan lain, bagaimana nak bina kediaman tinggi beribu-ribu unit tetapi tetap menggunakan akses jalan yang sama.

“Baru-baru ini pun ada satu projek cuba nak minta kelulusan Kebenaran Merancang (KM), saya menolak dan tidak menyokong sebab pemaju tak nak buat akses baharu dengan alasan ada curam dalam, itu semua alasan.

“Saya bukan anti pembangunan, tetapi ia perlu diselarikan dengan pembinaan akses perhubungan yang baik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×