FENOMENA baharu yang berlaku dalam parti politik, struktur gabungan kuasa dan kerjasama antara parti di Malaysia sejak akhir-akhir ini sangat berbeza daripada apa yang berlaku sebelumnya, apa lagi jauh berbeza pada tahun-tahun 1960-an hingga akhir 1990-an.
Awal 2000-an berlaku perubahan dan paling ketara apabila memasuki dekad kedua abad ke-21; 2020-an hingga kini. Ia satu fenomena yang tidak terfikir oleh kebanyakan kita sama ada pengamal politik atau orang biasa. Ini adalah hakikat yang kita harus terima.
Kita tidak pasti sama ada ini adalah fenomena yang berterusan atau akan berlaku pusingan U pada masa akan datang. Walau bagaimanapun pengurusan, pentadbiran dan pembuat keputusan utama parti-parti politik, mereka perlu cakna perkembangan ini.
Satu perkara yang ingin disentuh dalam tulisan ringkas ini berkaitan ‘kritikan tajam’ antara parti-parti politik sama ada dalam kempen pilihan raya atau dalam kenyataan umum.
Sebelum ini kenyataan dan kritikan tajam antara parti-parti politik adalah suatu yang biasa berlaku. Apa yang dimaksudkan dengan ‘kenyataan tajam’ adalah kritikan keras oleh sebuah parti politik kepada parti politik lawannya. Parti A membuat kenyataan memburukkan parti B dengan lantang, keras dan terbuka. Parti B dikritik dengan keras apa yang dilakukan oleh parti A.
Barisan nasional (BN) dan UMNO mengkritik DAP dengan begitu lantang, keras dan terbuka dalam kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018 dan PRU15 pada 2022. Begitu juga Perikatan Nasional (PN) dan Pas mengkritik BN dan Pakatan Harapan (PH) dalam siri kempen PRU dan pilihan raya kecil (PRK) sebelum ini.
Masih segar dalam ingatan kita calon-calon PH mengkritik BN dan UMNO dalam kempen PRU14 dan PRU15 dalam pentas kempen pilihan raya. Tidak kurang juga calon dan pemimpin PN melakukan kritikan sama terhadap calon dan tindakan calon PH. Sehingga dalam PRK Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei lalu pun kritikan oleh sebuah parti politik ke atas sebuah parti politik lain terus berlaku.
Saya melihat kritikan tajam ini bukan lagi satu tindakan bijak dengan perkembangan yang sedang berlaku. Parti yang dikritik dengan keras dan tajam itu mungkin menjadi kawan dan sekutu baharu dalam kerjasama politik. Contoh mudah adalah pertentangan dan kritikan terbuka antara BN/UMNO dan DAP selama ini. Kritikan yang dilemparkan oleh BN/UMNO terhadap DAP seolah-olah musuh kekal untuk selamanya yang sama sekali tidak mungkin berlaku kerjasama dalam apa jua keadaan pun. Nah, apa yang berlaku sekarang BN/UMNO dan DAP duduk semeja dan satu pentas.
Pemimpin UMNO menyokong calon DAP dalam PRK Kuala Kubu Baharu dan memberikan sokongan secara terbuka. Begitu dengan Pas sekarang, mungkinkah berlaku kerjasama semula dengan Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan DAP merupakan satu komponen penting?
Sampai bilakah kritikan tajam ini harus diamalkan? Saya fikir sudah sampai masanya untuk kita mengubah haluan kempen dan kenyataan umum daripada kritikan tajam kepada bicara ilmiah untuk keharmonian jangka panjang berdasarkan fakta. Kritikan tajam kadang-kadang mempunyai hal-hal yang berkaitan dengan semangat emosi serta kadang-kadang fakta yang tidak begitu tepat. Hanya penyokong tegar sesebuah parti politik yang menyokong dengan tepuk sorak gemuruh, tetapi tidak kepada mereka yang berfikiran rasional yang memikirkan kestabilan politik jangka panjang serta kepentingan bangsa dan negara.
FAKTA ILMIAH
Kritikan tajam harus digantikan dengan dasar teras perjuangan sesebuah parti politik serta disokong oleh fakta ilmiah yang berasas. Sesebuah parti politik perlu menjelaskan sejelas-jelasnya kepada umum dan penyokongnya tentang teras perjuangan dan falsafah yang dipegangnya.
Asas perjuangan dan falsafah parti politik itu harus dijadikan landasan yang akan digerakkan dan menjadi amalan bila mana jika berkuasa nanti. Pemimpin hendaklah bergerak di atas asas perjuangan dan pegangan falsafah politiknya.
Andai kata berlaku pemimpin lari dan terkeluar daripada arah perjuangan sebenar, ahli parti perlu bertindak menegur dan kalau mereka berdegil, maka tindakan keras dalaman parti perlu dilakukan. Andai kata perjuangan sesebuah parti politik itu bercanggah dengan asas Perlembagaan negara, maka pihak berkuasa perlu bertindak dengan tepat dan rasional.
Sesebuah parti politik boleh menyarankan sesuatu tindakan yang selaras dengan prinsip undang-undang dan bukan hanya melakukan tindakan kritikan tajam yang tidak membawa apa-apa kesan.
Harus disedari bahawa tiada musuh dan kawan yang kekal dalam politik dan antara parti-parti politik. Hari ini menjadi kawan politik dan esok mungkin menjadi lawan. Hari ini menjadi kawan dan sekutu parti politik, mungkin besok bertukar menjadi musuh politik. Ia beredar tanpa sedar dan tanpa dijangka dalam keadaan biasa.
Sifir utama politik adalah bagaimana mendapatkan, mengekalkan dan menggunakan kuasa bagi terus mengukuhkan kuasa. Musuh dan kawan bukan perkiraan ‘moral dan normal biasa’ tetapi lebih berasaskan kepada ‘sifir kuasa’. Walau bagaimanapun dan sehebat manapun sifir kuasa politik, jangan sekali-kali meletakkan ‘nilai kebenaran mutlak’ dan nilai agama diketepikan. Semuanya perlu dikaitkan dengan peraturan yang ditetapkan oleh Yang Maha Berkuasa.
Kritikan tajam yang negatif dan berunsur emosi harus diganti dengan fakta benar yang selari dengan Perlembagaan Negara serta peraturan Yang Maha Esa dan Maha Berkuasa yang selari dengan fitrah manusia normal, hamba Allah.
Politik hari ini harus diingat ia perlu dikaitkan untuk kehidupan panjang, hari akhir yang tak berpenghujung.-UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Mohd. Noor Yazid ialah Felo Penyelidik Kanan, Institut Kajian Orang Asal Borneo (BorIIS), Universiti Malaysia Sabah, Kota Kinabalu.










