Reformasi? Sabar dulu…

Reformasi? Sabar dulu…

WONG CHEN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
TEMPOH 25 tahun bukan satu jangka masa yang sekejap dan pelbagai peristiwa berlaku dalam PKR, ada sedih, ada gembira.

Malah jika disingkap perjuangan awal parti politik yang sinonim dengan terma reformasi, banyak ujian dan kesengsaraan ditempuh sehingga membolehkan PKR bertahan sehingga menjadi sebahagian daripada Kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2018 dan hari ini, dalam Kerajaan Perpaduan.

Justeru wartawan Utusan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI serta dibantu jurufoto, SHIDDIQIEN ZON menemuramah Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, WONG CHEN bagi mendapatkan pandangannya tentang hala tuju parti berkenaan.

 

AGENDA REFORMASI

Saya yakin semua ahli parti dan rakyat nak tahu serta teruja bagaimana kami membuat pembaharuan terhadap negara ini terutama sebagai sebuah parti reformasi.

Namun mereka juga perlu faham semua ini bukan semata-mata kerja PKR dan PH, sebaliknya ada 18 parti di bawah Kerajaan Perpaduan selain ada parti di Sabah dan Sarawak.

Justeru, kerajaan ini perlu menggunakan pendekatan berhemah dan terbaik. Sebagai contoh kerjasama dengan UMNO. Sudah tentu kalau kita bergaduh lama sebelum ini akan mengambil masa lama untuk berbaik semula serta saling memahami.

Persoalannya sekarang bagaimana kita mahu mengambil pendekatan untuk berdamai? Sudah semestinya perlu mengambil masa sekurang-kurangnya dalam dua atau tiga tahun juga untuk berbaik dan mengenal lebih rapat.

Kalau awak lihat sekarang ini sudah ada jalinan yang baik dengan pemimpin UMNO dan semua pemimpin lain Sabah serta Sarawak. Jadi kita perlu berkawan dan memahami antara satu sama lain dulu.

Selepas itu barulah berbincang nak buat reformasi apa dan tahun depan barulah kita boleh bekerja kuat untuk ke arah pembaharuan. Ia memang mengambil masa apatah lagi kita gaduh sudah lebih 20 tahun. Maka perlu bersabar dahulu.

PRESTASI KERAJAAN PERPADUAN

Setakat ini kita tidak nampak lagi apa-apa isu yang timbul. Tapi bagi saya kerajaan perlu fokus pada isu rasuah dan perlu buat sesuatu (usaha lebih keras).

Walaupun pada asasnya kerajaan yang ada sekarang bagus daripada segi politik. Tetapi dalam struktur kerajaan itu sendiri mungkin perlu melaksanakan sesuatu bagi meningkatkan tadbir urus kerajaan terutama untuk jangka masa panjang.

PKR DULU DAN SEKARANG

PKR ini kalau dilihat daripada sudut sejarah, ia parti yang selalu bergolak. Daripada sejarah tahun 1999 pun sudah ramai yang keluar masuk. Sebagai sebuah parti reformasi, itu bagus sebenarnya sebabnya parti kita dibina dengan pertukaran pendapat, ada argument, ada hak kebebasan bersuara.

Malah ada ahli Parlimen yang menghentam secara terbuka dan inilah cara PKR dibina. Ia juga tanda bahawa parti ini cukup matang dalam pendekatan yang kita gunakan.

Di samping itu ada kebebasan untuk bertanya satu sama lain dan kita sentiasa terbuka . Ia juga tanda solidariti sebenarnya.

Lagipun parti kita ada pelbagai kaum tidak kira sama ada ketika kita bersama dalam satu-satu isu atau wujud kem-kem tertentu dalam percanggahan pendapat. Contohnya team A ada Melayu, India dan Cina. Begitu juga dengan team B. Ini jelas bahawa tiada politik perkauman dan kita hanya mengamalkan politik dasar.

Kita juga bukan parti yang terperangkap dengan politik wang. Tiada yang melibatkan perkara mewah. Sebab itu kita ini mampu kekal bertahan.

ISU PERKAUMAN SEMAKIN PANAS

Saya rasa isu perkauman memang bermasalah sebab ia akan memberi kesan kepada pelabur domestik. Kedua ada saya masih ingat lagi ada satu ketika semasa saya berada dalam satu persidangan di Geneva, Switzerland. Seorang ahli Parlimen dari Romania bertanya kepada saya apa yang berlaku di negara kita (isu perkauman). Ini bermakna dia mengikuti perkembangan kita secara rapat dan sekali gus memberi persepsi tidak elok kepada negara luar.

Justeru pada saya, kita perlukan satu tahap toleransi. Janganlah sampai ke tahap baling bom. Itu bukan budaya Malaysia. Itu dah melampau dan kami berharap kerajaan yang ada sekarang jelas tidak mahu perkara ini.

Jadi untuk bergerak ke depan kita perlu sentiasa bertoleransi kerana segalanya memberi impak kepada ekonomi kita. Kita perlu faham dan dalam masa yang sama perlu hormat antara satu sama lain.

ISU HARGA MINYAK TURUN, TOL BERI KESAN SOKONGAN
Isu ini terkait dengan subsidi minyak. Apa yang penting sekarang banyak subsidi tidak capai sasaran sebenarnya termasuklah minyak petrol. Dalam erti kata lain ada golongan yang tidak sepatutnya menikmati hasil subsidi.

Sebenarnya kita memang boleh laksanakan penurunan minyak tersebut tapi kita perlu bagi dengan cara kita, iaitu menerusi subsidi bersasarlah. Hasil wang daripada penurunan minyak yang sepatutnya itu kita boleh beri kepada golongan tertentu seperti berpendapatan rendah (B40) atau miskin tegar atau ikut kumpulannya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×