MELAKA: Tiada ungkapan yang mampu diluahkan selain mengucapkan rasa syukur penantian selama 15 tahun menjadi kenyataan apabila terpilih untuk mengerjakan ibadah haji tahun ini.
Guru Sekolah Agama Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) Tanjung Minyak, Siti Nurzannah A. Rahman, 57, sudah menjangka akan terpilih mengerjakan ibadah haji tahun ini bersama suami serta dua anaknya.
“Sewaktu saya mendaftar di Tabung Haji pada 2009, mereka ada bagi tahu tarikh saya pergi pada 2024 namun macam-macam boleh jadi mungkin pergi awal atau pergi lewat.
“Saban tahun saya sentiasa berdoa agar hajat saya tiga beranak dipermudahkan dan alhamdulillah saya menerima panggilan dari Tabung Haji awal tahun ini memaklumkan terpilih ke Tanah Suci Mekah,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Bakal Haji Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput di Masjid Tun Mohd Khalil Yaakob, Tanjung Minyak di sini semalam.
Majlis tersebut telah disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, Datuk Rais Yasin.
Siti Nurzannah berkata, ahli keluarganya sudah cukup bersedia dari aspek fizikal untuk mengerjakan haji di Tanah Suci Mekah melalui penerbangan pada 27 Mei ini.
Seorang lagi jemaah, Ahmad Fauzan Zarimi Kamaruddin, 24, dari Paya Rumput berkata, dia turut melahirkan rasa gembira dan bersyukur turut terpilih bersama abang serta adiknya untuk mengerjakan ibadah haji buat pertama kali tahun ini.
“Ayah daftar nama saya serta abang dan adik pada 2008 ketika itu usia saya lapan tahun dan menanti hampir 16 tahun yang akhirnya impian menjadi kenyataan dan akan menaiki penerbangan pada 26 Mei ini,” katanya.
Dia yang baru menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Perisian dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mengucapkan terima kasih kepada ibu bapanya kerana membuat simpanan hingga membolehkannya dapat mengerjakan haji. – UTUSAN










