Ustazah Azhani masih koma selepas dua tahun lahirkan anak

Ustazah Azhani masih koma selepas dua tahun lahirkan anak

MUHAMMAD Syakir Amin memangku adiknya, Muhammad Zakwan Adha serta Nurul Umairah di samping ibu mereka, Nurul Azhani Abu Hassan @ Hussain yang koma hampir dua tahun ketika ditemui di Kampung Teloi Tua, Sik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIK: Hampir dua tahun berlalu, keadaan seorang bekas guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA), Nurul Azhani Abu Hassan @ Hussain, 37, yang terlantar koma selepas melahirkan anak ketiganya masih tidak berubah.

Suaminya, Muhammad Shazuan Md. Saad, 38, berkata, isterinya kini hanya mampu membuka mata dan ada kalanya menggerakan jari-jemari sahaja tanpa ada tindak balas lain.

“Anak bongsu kami, Muhammad Zakwan Adha kini sudah berusia setahun lapan bulan, dia dilahirkan secara pembedahan pada 6 Julai 2022. Selepas melahirkan anak, Nurul Azhani pengsan dan jantungnya terhenti selama setengah jam sebelum disahkan koma oleh doktor.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Menerusi penerangan oleh doktor, punca isteri saya koma adalah disebabkan air ketuban telah memasuki saluran darah­nya dan kes itu sangat jarang berlaku yang selalunya berakhir dengan kematian,” katanya ketika ditemui di Kampung Teloi Tua, kelmarin.

Menurut Muhammad Shazuan yang hanya menyara keluarga sebagai tukang rumah, dia amat berharap masih ada sinar untuk isterinya kembali sembuh agar dapat bersama anak-anak yang sangat rindukan kasih sa­yangnya.

“Kini, anak bongsu kami terpaksa diserahkan kepada adik Nurul Azhani untuk dijaga agar dapat merasai kasih sayang seorang ibu. Hari raya baru-baru ini pun saya tak buat sebarang persiapan, kami pakai apa yang ada saja. Duit yang ada saya guna untuk beli keperluan isteri terutama susu khas, lampin pakai buang dan ubatnya,” katanya.

Tambahnya, dia kini tidak lagi dapat keluar bekerja kerana terpaksa memberi perhatian penuh kepada isteri yang akan diberi susu khas melalui tiub setiap tiga jam selain perlu ke­rap membuang kahak.

Justeru, setiap bulan Muhammad Shazuan mengakui perit untuk menyediakan keperluan keluarganya terutama susu khas kepada isteri yang berharga antara RM45 hingga RM50 satu tin.

Muhammad Shazuan berkata, buat masa ini dia hanya bergantung kepada elaun bulanan sebagai siak berjumlah RM700 sebulan selain menerima bantuan RM500 dan RM300 masing-masing daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK).

Orang ramai yang ingin membantu Muhammad Shazuan boleh menghubunginya melalui talian 019-352 3308 atau sumbangan kewangan melalui nombor akaun 02-132-02-004321-5 (Bank Islam).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini