PRK Kuala Kubu Baharu: Pengundi luar tidak balik, faktor PN kalah - Faizal - Utusan Malaysia

PRK Kuala Kubu Baharu: Pengundi luar tidak balik, faktor PN kalah – Faizal

PRK PN
AHMAD Faizal Azumu ditemui pemberita pada sidang akhbar selepas memperoleh keputusan PRK Kuala Kubu Baharu dekat Bilik Gerakan Utama PN, Bandar Utama Batang Kali di Hulu Selangor, Selangor, hari ini. - UTUSAN / M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU SELANGOR: Perikatan Nasional (PN) mengenal pasti kelemahan untuk memastikan pengundi di luar pulang mengundi menyebabkan parti itu tewas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu, hari ini.

Ia menjadi faktor kepada penurunan peratusan keluar mengundi daripada 69 peratus pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu kepada 61 peratus.

Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, menerusi analisis awal terhadap keputusan diperolehi tadi, berlaku peningkatan sokongan di Pusat Daerah Mengundi (PDM) tertentu selain sokongan moral diterima ketika berkempen.

“Saya fikir dalam PRK kali ini, kita mendapati sekumpulan golongan terutamanya yang bekerja di luar, para pengundi yang bekerja diluar tidak mengambil kesempatan kali ini untuk pulang mengundi dan disitu ada peratusan yang rendah.

“(Daripada analisis) awal di satu-satu PDM, memang berlaku peningkatan, begitu juga penurunan di satu-satu tempat. Bagaimanapun, secara keseluruhannya kita gembira dengan sokongan diberikan oleh pengundi yang sebelum ini tidak bersama PN,” katanya dalam sidang akhbar di Bilik Gerakan Utama PN PRK Kuala Kubu Baharu, hari ini.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan PH berjaya pertahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu dengan sejumlah 14,000 undi dan 3,860 majoriti menewaskan calon PN, Khairul Azhari Saut yang mendapat, 10,115 undi.

Beliau menambah, bagaimanapun kepemimpinan PN menerima keputusan tersebut dan akan memastikan ia dapat diperbaiki dalam usaha untuk merampas negeri-negeri di bawah naungan Kerajaan Perpaduan seperti Perak, Selangor, Pahang serta Putrajaya.

Jelasnya, keyakinan itu berdasarkan sokongan yang diterima PN daripada pengundi muda dalam siri pilihan raya sebelum ini serta PRK Kuala Kubu Baharu dan mempercayai trend tersebut akan berterusan.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal yang juga Timbalan Presiden Bersatu memberitahu, pihaknya akan meneliti keperluan untuk mengemukakan petisyen pilihan raya terhadap PH berkaitan kesalahan-kesalahan pilihan raya.

“Kita akan meneliti setiap perkara yang boleh kita lakukan dan tentunya tindakan-tindakan lanjut akan kita ambil, insya-Allah,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN