Bilik Snoezelen bantu tingkat kualiti pendidikan MBPK

Bilik Snoezelen bantu tingkat kualiti pendidikan MBPK

FADHLINA Sidek (tengah) beramah mesra bersama murid-murid SK Seri Sentosa di Bilik Snoezelen sekolah itu di Nibong Tebal, Pulau Pinang.-UTUSAN/SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL : Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Sentosa menjadi antara sekolah pertama di Pulau Pinang yang dilengkapi dengan Bilik Multisensori Pendidikan Khas (Bilik Snoezelen) khusus buat Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK).

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, ruangan bilik terapi itu direka khusus untuk menenang, merehatkan, serta merangsang minat kanak-kanak mahupun orang dewasa yang mempunyai masalah berkeperluan khas.

“Bilik terapi multisensori ini amat sesuai digunakan oleh murid yang mempunyai masalah pembelajaran seperti Autisme, Sindrom Down, ADHD dan sebagainya.

“Terapi ini juga telah digunakan secara meluas dalam bidang pediatrik, materniti, psikiatri, strok dan kecederaan otak (Traumatic Brain Injury), penyakit kronik serta penjagaan dementia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Bilik Multisensori Able Perfect Sdn. Bhd. di SK Seri Sentosa di sini, hari ini.

Selain sekolah terbabit, tiga lagi sekolah iaitu di Perak turut menerima Bilik Multisensori iaitu SK Long Jaafar di Kamunting; SK Seri Setiawan serta SK Pendidikan Khas Ipoh.

Bilik terapi khas yang menelan belanja RM250,000 itu disumbangkan oleh syarikat Able Perfect Sdn. Bhd. dengan kerjasama Yayasan Didik Negara (YDN).

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, KPM sentiasa berusaha memberikan peluang dan ruang kepada MBPK untuk menikmati pembelajaran seperti murid-murid lain di aliran perdana dengan mengikuti pendidikan setara dan berkualiti.

“Ia termasuk memastikan golongan itu menikmati fasiliti pembelajaran yang terbaik selaras dengan konsep Pendidikan Manusiawi yang berlandaskan Falsafah Pendidikan Negara dan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM 2013-2025).

“Justeru, Kementerian berharap lebih ramai syarikat swasta bekerjasama dengan kerajaan dalam usaha memberikan peluang dan ruang kepada MBPK untuk menikmati pembelajaran seperti murid-murid lain di aliran perdana,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×