PETALING JAYA: Perdagangan borong dan runcit Malaysia merekodkan nilai jualan bulanan tertinggi berjumlah RM145.7 bilion pada Mac dengan suku pertama 2024 mencatatkan RM429.2 bilion.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, peningkatan sebanyak 5.2 peratus tahun ke tahun itu dipacu oleh subsektor perdagangan runcit yang meningkat 7.1 peratus atau RM4.2 bilion kepada RM62.8 bilion.
Katanya, perdagangan borong juga berkembang dengan mencatatkan 4.0 peratus atau RM2.5 bilion kepada RM64.1 bilion, diikuti oleh kenderaan bermotor dengan pertumbuhan 3.2 peratus atau RM0.6 bilion untuk berada pada RM18.8 bilion.
“Bagi perbandingan bulanan, peningkatan 3.3 peratus berbanding bulan sebelumnya adalah disumbangkan oleh perdagangan borong yang naik 3.0 peratus.
“Ia diikuti oleh subsektor kenderaan bermotor dan perdagangan runcit dengan masing-masing 8.3 peratus dan 2.1 peratus,” katanya dalam kenyataan.
Melihat kepada prestasi mengikut subsektor, katanya, pertumbuhan 7.1 peratus tahun ke tahun bagi perdagangan runcit disumbangkan oleh jualan runcit di kedai bukan pengkhususan yang tumbuh 8.4 peratus atau RM1.9 bilion kepada RM24.2 bilion.
“Kumpulan lain dalam subsektor ini turut merekodkan pertumbuhan positif iaitu jualan runcit di kedai pengkhususan (10.9 peratus), jualan runcit barangan isi rumah (4.8 peratus), dan jualan runcit Makanan, minuman & tembakau (8.6 peratus).
“Selain itu, jualan runcit bahan api kenderaan (4.0 peratus), jualan runcit barangan kesenian & rekreasi (6.3 peratus), jualan runcit bukan di kedai, gerai atau pasar (6.3 peratus) dan jualan runcit di gerai & pasar (3.2 peratus),” ujarnya.
Bagi perbandingan bulanan pula katanya, jualan subsektor itu meningkat 2.1 peratus disokong oleh jualan runcit di kedai bukan pengkhususan (2.6 peratus), jualan runcit di kedai pengkhususan (1.8 peratus) dan jualan runcit barangan isi rumah (1.7 peratus).
Mengulas lanjut mengenai subsektor Perdagangan Borong, katanya, kenaikan 4.0 peratus tahun ke tahun pada bulan ini disokong oleh lain-lain pengkhususan jualan borong yang meningkat RM1.0 bilion atau 4.5 peratus kepada RM24.1 bilion.
“Ini diikuti oleh jualan borong makanan, minuman & tembakau (5.4 peratus), jualan borong barangan isi rumah (3.5 peratus), jual borong bahan mentah pertanian dan haiwan hidup (3.2 peratus), jualan borong jentera, peralatan & bekalan (1.4 peratus), perdagangan borong tanpa pengkhususan (2.5 peratus) dan jual borong berdasarkan kontrak atau yuran (2.0 peratus).
Sementara itu, bagi perbandingan bulanan, perdagangan borong kembali mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 3.0 peratus, terutamanya disumbangkan oleh jualan borong makanan, minuman & tembakau (4.4 peratus), jualan borong barangan isi rumah (3.3 peratus) dan lain-lain pengkhususan jualan borong (1.5 peratus).
Katanya, pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 3.2 peratus bagi subsektor kenderaan bermotor pada Mac dipacu oleh jualan komponen & aksesori kenderaan bermotor yang melonjak 13.8 peratus atau RM0.6 bilion untuk merekodkan RM5.0 bilion,
“Ia diikuti oleh penyelenggaraan & pembaikan kenderaan bermotor yang meningkat 14.4 peratus atau RM0.3 bilion kepada RM2.6 bilion.
“Sebaliknya, jualan kenderaan bermotor dan jualan, penyelenggaraan & pembaikan motosikal merekodkan pertumbuhan negatif pada bulan ini masing-masing dengan -2.8 peratus dan -4.7 peratus,” katanya.
Bagi perbandingan bulanan, katanya, subsektor itu berkembang 8.3 peratus, disumbangkan oleh jualan kenderaan bermotor (12.8 peratus), jualan, penyelenggaraan & pembaikan motosikal (14.2 peratus), jualan komponen & aksesori kenderaan bermotor (2.0 peratus) dan penyelenggaraan & pembaikan kenderaan bermotor (2.3 peratus).
Mengulas mengenai prestasi suku tahunan, peningkatan 5.4 peratus pada suku pertama bagi perdagangan borong & runcit disokong oleh subsektor perdagangan runcit yang meningkat RM9.1 bilion atau 5.1 peratus kepada RM185.5 bilion.
“Diiikuti oleh perdagangan borong yang berkembang 4.9 peratus atau RM8.8 bilion untuk merekodkan RM190.0 bilion.
“Subsektor kenderaan bermotor juga naik dengan 7.8 peratus atau RM3.9 bilion untuk mencapai RM53.8 bilion dan bagi perbandingan suku tahun ke suku tahun, sektor ini menokok 0.1 peratus,” katanya.
Sementara itu, indeks jualan runcit melalui internet berkembang 5.6 peratus tahun ke tahun pada Mac 2024 berbanding 0.4 peratus pada Februari.
Bagi nilai pelarasan musim, indeks meningkat 5.0 peratus berbanding bulan sebelum dan indeks volum, perdagangan borong & runcit pada Mac mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 3.5 peratus.
“Pengembangan ini disumbangkan oleh semua subsektor iaitu perdagangan runcit (5.4 peratus), perdagangan borong (2.2 peratus) dan kenderaan bermotor (0.3 peratus), manakala bagi indeks volum pelarasan musim, ia jatuh -0.8 peratus bulan ke bulan,” ujarnya. – UTUSAN











