KUALA TERENGGANU : Jadual kutipan sampah di kawasan seliaan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di sini agak terjejas ketika ini berikutan kebakaran tapak pelupusan sampah di Sungai Ikan yang berlaku sejak akhir bulan lalu.
Datuk Bandar MBKT, Datuk Rosli Latif berkata, kebakaran itu menyebabkan sampah yang sepatutnya dihantar ke Sungai Ikan terpaksa dihantar ke lokasi lain iaitu di tapak pelupusan sampah di Tertak Batu, Marang buat sementara waktu.
Menurutnya, situasi itu menyebabkan ada beberapa lokasi yang berdepan masalah longgokan sampah ketika ini namun masih dalam keadaan yang terkawal.
“Faktor lokasi Tertak Batu yang agak jauh berbanding Sungai Ikan dan penggiliran lori sampah untuk masuk ke kawasan pelupusan itu menyebabkan jadual kutipan sampah agak terganggu.
“Kebakaran di tapak pelupusan sampah Sungai Ikan adalah bencana di luar jangkaan dan ia adalah yang terbesar setakat ini.
“Oleh itu, MBKT berharap penduduk yang berdepan masalah longgokan sampah di beberapa lokasi ketika ini dapat bersabar,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, semalam.
Kebakaran pusat pelupusan sampah Sungai Ikan itu dilaporkan berlaku kira-kira pukul 2 petang pada 26 April lalu.
Siasatan awal pihak bomba mendapati kebakaran di lokasi itu berpunca daripada faktor semula jadi akibat haba tinggi berikutan cuaca panas dan kering melampau di Terengganu ketika ini.
Mengulas lanjut, Rosli berkata, MBKT sentiasa memantau perkembangan di tapak pelupusan sampah di Sungai Ikan dan berharap kebakaran itu dapat dipadam sepenuhnya dalam waktu terdekat.
Secara purata, jumlah kutipan sampah domestik yang direkodkan MBKT setiap hari ialah sebanyak 350 metrik tan dan meningkat hingga 450 metrik tan pada bulan Ramadan serta Aidilfitri. – UTUSAN











