BEIRUT: Israel melakukan serangan udara di selatan Lebanon dan Hezbollah pula berkata mereka melancarkan dron dan roket letupan ke sasaran Israel.
Pertempuran itu berlaku ketika Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant memberi amaran tentang musim panas di wilayah sempadan kedua-dua negara.
Serangan Israel membunuh tiga pejuang Palestin dari Briged Quds, sayap bersenjata gerakan Jihad Islam, menurut briged itu.
Hezbuollah pula berkata sekurang-kurangnya seorang pejuangnya turut terbunuh.
Serangan Israel membunuh tiga orang di Lebanon, kata sumber keselamatan Lebanon.
Konflik antara Hezbollah dan Israel bergelora sejak Oktober tahun lalu selari dengan perang Gaza yang mencetuskan kebimbangan perang yang lebih besar antara musuh bersenjata berat.
Tentera Israel berkata, mereka menyerang struktur dan infrastruktur tentera milik Hezbollah yang disokong Iran di tiga lokasi di selatan Lebanon, termasuk lebih 20 serangan ke atas sasaran Hezbollah di kawasan Ramyeh.
Hezbollah berkata, mereka melancarkan dron bahan letupan di ibu pejabat tentera di bandar sempadan Israel Ya’ara dan menembak roket Burkan yang berkuasa ke arah berek di Biranit, antara sekurang-kurangnya 10 serangan yang diumumkan oleh kumpulan itu, semalam.
Agensi Berita Nasional Lebanon melaporkan serangan Israel ke atas 28 bandar dan kampung di selatan Lebanon, kubu kuat Hezbollah.
Dua sumber keselamatan di Lebanon berkata, Israel menggunakan peluru yang kuat dalam usaha nyata untuk menyerang kubu bawah tanah Hezbollah. -REUTERS











