KUALA LUMPUR: Siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung pelakuan jenayah ke atas tiga pemain bola sepak negara akan melihat sekiranya mempunyai kaitan dengan isu tohmahan yang melanda Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bulan lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, perkara termasuk tohmahan dalam FAM turut sedang diteliti polis.
“Kita lihat keseluruhan termasuk tohmahan kepada FAM sebulan lalu yang mana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah nyatakan bahawa tohmahan itu tidak berasas.
“Adakah disebabkan kenyataan itu membawa kepada tindakan sebegini? Ketidakpuasan hati kepada FAM diluahkan kepada pemain kebangsaan? Kita libatkan semua sudut dan aspek siasatan,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman di sini semalam.
Beliau berkata, tiga kes yang melibatkan serangan kepada Akhyar Rashid, Faisal Halim dan Safiq Rahim kini disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) JSJ Bukit Aman.
Katanya, apa yang dilihat dimensi serangan telah rentas kontinjen dan menyelaraskan siasatan oleh Bukit Aman.
TUNGGU
“Bagi kes kedua (Faisal), kita sedang tunggu beberapa laporan khususnya laporan kimia berkaitan asid yang digunakan suspek.
“Saya juga menunggu laporan daripada pegawai saya bagaimana daripada kecederaan tahap dua merebak ke tahap empat,” ujarnya.
Kata beliau, motif kejadian masih dalam siasatan kerana berdasarkan kes pertama, serangan mengakibatkan kerugian, kes kedua melibatkan kecederaan, manakala kes ketiga akibatkan kerugian kerana kerosakan kenderaan.
Selain itu, Shuhaily berkata, polis mengesan corak serangan jenayah membabitkan tiga pemain bola tersebut menggunakan modus operandi sama iaitu pergerakan membabitkan dua individu
Beliau berkata, modus operandi yang digunakan dalam kejadian pertama membabitkan samun ke atas Akhyar, kemudian simbahan asid ke atas Faisal dan terbaru melakukan pecah cermin kereta milik Safiq Rahim adalah sama membabitkan dua individu.
Menurut beliau, mereka juga dikatakan akan mengekori mangsa-mangsa sebelum melakukan serangan.
“Kita kenal pasti modus operandi membabitkan jenayah ke atas pemain bola sepak dan setiap kes serangan membabitkan dua orang atau berpasangan yang mengekori mangsa sebelum melakukan serangan,” kata beliau. – UTUSAN









