Polis cari penyebar CCTV simbah asid terhadap Faizal Halim

Polis cari penyebar CCTV simbah asid terhadap Faizal Halim

TANGKAP layar klip rakaman CCTV yang tular di media sosial didakwa berkaitan dengan kes serangan asid Faisal Halim - Sumber Media Sosial
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis Selangor sedang mengesan individu yang menyebarkan video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dipercayai membabitkan kes serangan simbah asid terhadap bintang bola sepak Selangor FC, Faizal Halim, di media sosial.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya mengesan satu video berdurasi 56 saat di laman sosial X yang dimuat naik oleh pengguna menggunakan akaun @OneFootballM, hari ini.

Menurut beliau, video tersebut merupakan bahan bukti yang masih dalam siasatan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.

“Siasatan telah dimulakan bagi mengesan pihak yang menyebarkan video rakaman CCTV tersebut di bawah Seksyen 203A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan  hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan peruntukan Seksyen 203A Kanun Keseksaan Subseksyen (1) iaitu kesalahan pendedahan maklumat, jika disabit kesalahan pelaku boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali.

“Subseksyen (2) barang siapa yang mempunyai apa-apa maklumat atau perkara yang pada pengetahuannya telah didedahkan dengan melanggari Subseksyen (1) yang mendedahkan maklumat atau perkara itu kepada mana-mana orang lain hendaklah dihukum dengan denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi kesalahan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, jika disabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau dipenjara selama tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali dan hendaklah didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan,” katanya.

Oleh demikian, Hussein berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan rakaman video tersebut dan menghormati serta menjaga sensitiviti mangsa bersama keluarganya.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang sengaja menyebarkan video sekali gus mengganggu siasatan,” katanya.

Terdahulu, tular video rakaman CCTV di media sosial didakwa berkaitan kejadian serangan asid membabitkan pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim di sebuah pusat beli belah di Kota Damansara, 5 Mei lalu.

Klip rakaman CCTV berdurasi 56 saat itu dikesan mulai ditularkan oleh beberapa pemilik akaun laman X, hari ini.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN