PETALING JAYA: Satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dipercayai kejadian simbah asid yang menimpa pemain Selangor FC, Faisal Halim di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya, 5 Mei lalu, tular di media sosial hari ini.
Dalam rakaman berdurasi 56 saat itu menunjukkan seorang lelaki yang memakai topi dan bahagian muka dilindungi kain dalam keadaan berdiri berada di antara beberapa kenderaan lain.
Kemudian Faisal dilihat berjalan ke arah keretanya sebelum diekori lelaki terbabit.
Selang beberapa saat, lelaki itu meluru dan terus menyimbah cecair daripada botol dipegangnya beberapa kali.
Kejadian itu juga disaksikan beberapa individu berhampiran selain wanita dipercayai isteri Faisal.
Ketika kejadian, turut dilihat seorang lelaki bermotosikal dipercayai seorang lagi suspek yang menunggu berhampiran kenderaan Faisal.
Selepas menyerang Faisal, suspek terbabit kemudian cuba melarikan diri namun lelaki berkenaan dilihat cuba mengambil sesuatu yang terjatuh berhampiran lokasi kejadian.
Lelaki itu kemudian berlari ke arah rakannya yang menunggu di motosikal sebelum terus memecut laju motosikal terbabit.
Setakat ini, kesahihan video tersebut tidak dapat dipastikan.
Ahad lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan pihaknya telah mengedarkan fotofit atau lakaran wajah dipercayai suspek terbabit serangan asid itu dan meminta orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat berkaitan individu berkenaan diminta tampil bagi membantu mengesan suspek yang menyerang pemain kebangsaan itu.
Suspek dianggarkan berusia 30-an, berketinggian 165 sentimeter (cm), tubuh bersaiz sederhana dan kulit sawo matang.
Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian Pendakwaan Undang-undang (D5), Inspektor Jagachandaran Murugesen di talian 0125848166 atau 0322666071.
Pada 5 Mei lalu, media melaporkan, Faisal yang juga pemain sayap pasukan kebangsaan itu mengalami melecur tahap empat selepas disimbah asid dalam kejadian di pusat beli-belah di Damansara di sini.- UTUSAN










