SAUDARA PENGARANG,
SAINGAN Liga Malaysia musim lepas menyaksikan perubahan besar format pertandingan dengan Liga Premier dihentikan buat sementara manakala Liga Simpanan (Piala MFL 2023) diperkenalkan untuk memberi lebih minit permainan bagi pemain bawah 23 tahun.
Di peringkat serantau, Thailand dan Indonesia masing-masing mempunyai liga divisyen kedua dalam saingan liga domestik masing-masing iaitu Thai League 2 dan Liga 2 Indonesia. Pemansuhan Liga Premier menyebabkan jumlah pasukan berstatus profesional dalam liga domestik semakin berkurangan. Musim 2024/2025 bakal menyaksikan hanya terdapat 13 pasukan sahaja di Liga Super.
Mengembalikan semula Liga Premier membolehkan pasukan yang mewakili negeri seperti Kelantan FC dan Melaka FC mempunyai tempat yang lebih sesuai untuk beraksi. Status mereka sebagai pasukan berstatus negeri boleh menjadi daya penarik untuk peminat bola sepak hadir ke stadium memberikan sokongan berbanding perlawanan melibatkan pasukan simpanan B-23.
Saya masih ingat ketika Kelantan FC beraksi di Liga Perdana musim 2022, ribuan penyokong The Red Warriors hadir menyaksikan perlawanan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.
Selain itu, pemain profesional tempatan termasuk bekas pemain skuad kebangsaan yang tidak dapat beraksi dalam saingan Liga Super dan Liga MFL akibat lambakan pemain import serta faktor had usia masih ada peluang untuk meneruskan karier di liga Premier selain beraksi di Liga A1 Semi-Pro (dahulunya dikenali dengan Liga M3).
Diharapkan dengan pengenalan semula Liga Premier, kelab-kelab handalan seperti Petaling Jaya City FC dan Felda United FC dapat kembali menyertai aksi liga profesional pada masa akan datang.-UTUSAN
M.FAISAL
Kuala Lumpur










