DSA medan pamer inovasi syarikat tempatan – PM

DSA medan pamer inovasi syarikat tempatan – PM

ANWAR Ibrahim melawat pameran selepas merasmikan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2024 dan Pameran Keselamatan Kebangsaan Asia (NATSEC ASIA) 2024 di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa (MITEC) di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Syarikat industri pertahanan tempatan perlu menggunakan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan Asia (NATSEC Asia) 2024 sebagai medan untuk mempamerkan keupayaan dan inovasi di pentas global.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, DSA dan NATSEC 2024 juga merupakan pentas terbaik untuk syarikat pertahanan tempatan memainkan peranan penting dalam membentuk landskap pertahanan negara menerusi kepakaran masing-masing.

“Biarkan astaka anda berdiri sebagai mercu tanda kecemerlangan, menyerlahkan bukan sahaja kehebatan teknologi tetapi juga komitmen terhadap kerjasama dan perkongsian.

“Dalam beberapa hari ini, kita mempunyai peluang besar untuk dialog penting antara negara, sektor pertahanan dan industri keselamatan.

“Semua peserta boleh bersama-sama, berkongsi pengetahuan, berinovasi, bertukar-tukar teknologi dan idea baharu dan menjalin perkongsian,” kata beliau.

Beliau berkata demikian da­lam ucapan perasmian DSA dan NATSEC Asia 2024 yang berlangsung selama tiga hari di Pusat Pameran Perdagangan Antarabangsa (MITEC), di sini.

Turut hadir, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Acara dwitahunan yang me­masuki edisi ke-18 kali ini disertai oleh 1,324 syarikat pertahanan dan keselamatan membabitkan 60 negara di dunia.

Anwar berkata, Malaysia memainkan peranan aktif dengan melaksanakan pelbagai kerjasama keselamatan bagi membentuk dunia yang lebih selamat untuk generasi akan datang.

Katanya, adalah penting untuk menyediakan asas kepada dunia yang lebih baik untuk generasi akan datang boleh berkembang maju dalam suasana aman dan selamat.

“Dunia kini berdepan landskap global yang semakin berpecah-belah dan cabaran global yang mengancam keselamatan dan kemakmuran bersama.

“Ancaman yang semakin meningkat ini mendorong dunia ke arah titik perubahan yang belum pernah berlaku dan menuntut tindak balas yang bersatu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×