Warga emas dijel sebulan, denda RM3,000 guna gambar Agong ketika berkempen 

Warga emas dijel sebulan, denda RM3,000 guna gambar Agong ketika berkempen 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU SELANGOR : Gara-gara berkempen menggunakan gambar Yang di-Pertuan Agong seorang lelaki warga emas dihukum penjara sebulan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Tertuduh, P. Ramasamy, 66, turut didenda RM3,000 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim Siti Fatimah Talib.

Mengikut pertuduhan, lelaki berasal dari Tanjong Rambutan, Perak itu dituduh mempamerkan gambar Yang di-Pertuan Agong pada sebuah kenderaan jenis Mazda yang juga membawa sepanduk Pakatan Harapan (PH).

Perbuatan itu didakwa mempunyai kecenderungan untuk mengembangkan perasaan permusuhan antara golongan pengundi yang berbeza dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.

Kesalahan tersebut dilakukan dekat Taman Bukit Bunga, Kuala Kubu Baharu, di sini kira-kira pukul 5.40 petang, pada 4 Mei lalu.

Menurut fakta kes, tertuduh melekatkan gambar Yang di-Pertuan Agong pada kedua-dua sisi dan belakang kenderaan tersebut selain memasang bendera Malaysia dan Negeri Johor.

Justeru, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 4A(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara maksimum lima tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Semasa prosiding, tertuduh membuat rayuan dia tidak menyedari tindakannya untuk memeriahkan kempen pilihan raya di Kuala Kubu Baharu dengan membawa gambar Yang di-Pertuan Agong merupakan satu kesalahan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Asmah Che Wan kemudian menyatakan tidak tahu tentang penggunaan gambar Yang di-Pertuan Agong sebagai satu kesalahan bukanlah satu alasan yang boleh diterima.

Selepas mendengar hujah kedua-dua belah pihak, mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman sebulan penjara dan denda RM3,000 atau penjara tiga bulan jika gagal membayarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×