PETALING JAYA: Jumlah pelajar asing yang tinggi di universiti awam semakin menimbulkan kebimbangan apabila dilihat menjejaskan peluang pelajar tempatan khususnya dalam kalangan masyarakat Cina dan India.
Pengerusi Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai), P. Ramasamy berkata, keadaan itu menggambarkan sesuatu yang tidak kena dalam sistem pendidikan tinggi negara sekali gus menuntut penjelasan segera daripada Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.
“Jika tiada sekatan diperkenalkan, pelajar tempatan akan terus menjadi korban. Sistem kemasukan sedia ada yang berat sebelah dari segi kaum sudah pun merugikan pelajar Cina dan India, kini ditambah pula dengan pengambilan besar-besaran pelajar asing.
“Walaupun tindakan afirmatif boleh diterima, ia mesti dilaksanakan dengan adil untuk semua kaum. Sudah tiba masanya dasar lapuk ini digantikan dengan meritokrasi tulen,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Ramasamy berkata, keadaan itu ibarat peribahasa Melayu, ‘kera di hutan disusui, anak di rumah kelaparan’ apabila pelajar tempatan yang cemerlang diketepikan, sebaliknya pelajar asing mendapat tempat.
Beliau turut memetik kenyataan Exco Pendidikan Kedah, Prof. Dr. Naim Hilman Abdullah baru-baru ini yang mendedahkan lima universiti awam terkemuka iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mencatatkan kadar pengambilan pelajar asing sehingga 21.3 peratus.
Katanya, pelajar Cina hanya berjumlah 13.5 peratus manakala pelajar India lebih kecil peratusannya berbanding jumlah pelajar asing.
“Daripada keseluruhan 611,698 pelajar di 20 universiti awam, seramai 53,322 orang atau 8.72 peratus adalah pelajar asing. Jumlah ini jauh melebihi pengambilan tahunan pelajar tempatan bukan Bumiputera,” katanya.
Beliau berkata, keadaan itu menimbulkan ketidakadilan apabila ramai pelajar Malaysia yang layak dinafikan peluang melanjutkan pengajian di universiti awam atau terpaksa menerima kursus yang tidak diminati.
“Ramai yang akhirnya terpaksa ke universiti swasta dengan menanggung yuran pengajian yang tinggi. Malah, sistem kemasukan alternatif yang mengenakan yuran sehingga sepuluh kali ganda berbanding laluan UPU bersubsidi juga tidak banyak membantu,” katanya.
Tambah beliau, menerima pelajar asing bukanlah satu kesalahan, namun jumlah yang terlalu besar setiap tahun telah menjejaskan masa depan pelajar tempatan.
“Tiada negara di dunia yang membenarkan warga asing melebihi rakyat sendiri dalam sistem pendidikan yang ditanggung oleh pembayar cukai,” katanya. – UTUSAN










