PETALING JAYA: Pas tidak seharusnya beranggapan dan bertindak seolah-olah hanya parti itu yang berhak menentukan hala tuju pembangkang di negara ini.
Pengerusi Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai), Prof. Dr. P. Ramasamy berkata, walaupun parti itu mempunyai pengaruh dalam kalangan pengundi Melayu di beberapa negeri, sokongan daripada masyarakat bukan Melayu masih terhad.
Sebaliknya, beliau berkata, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) turut memiliki sokongan tersendiri dalam kalangan pengundi Melayu dan berpotensi mendapat sokongan daripada pengundi bukan Melayu.
Katanya, walaupun beliau tidak boleh bercakap bagi pihak keseluruhan Ikatan Prihatin Rakyat (IPR), Urimai tidak terdesak untuk menyertai Perikatan Nasional (PN).
“Memandangkan PN adalah gabungan pembangkang yang bersifat menyeluruh, Urimai berminat untuk mengambil bahagian dalam usaha bersama menentang kerajaan Pakatan Harapan (PH).
“Walaupun kami menghormati Muhyiddin (Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin) serta partinya, kami sama sekali tidak terlalu ghairah atau terdesak untuk menyertai PN.
“Sekiranya terdapat kemungkinan Bersatu bertanding secara bersendirian pada pilihan raya akan datang, kami bersedia memberikan sokongan kepada parti itu dalam kerangka IPR,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Ramasamy berkata, tiada pemimpin Melayu dalam Pas yang mempunyai pengalaman dan pendedahan politik setanding dengan Muhyiddin.
Katanya, Muhyiddin dan kepimpinan PN tidak mungkin akan membenarkan ahli IPR bertanding dalam pilihan raya akan datang di bawah panji PN tanpa asas yang kukuh.
“Parti komponen IPR mungkin bukan ahli PN, namun mempunyai hubungan rapat dengan Bersatu di bawah kepimpinan Muhyiddin yang juga bekas Pengerusi PN.
“Jadi mengapa Pas, selepas bersetuju membenarkan IPR bertanding di bawah gabungan pembangkang, tiba-tiba berubah pendirian?
“Apakah sebab Pas tidak yakin membenarkan ahli IPR khususnya URIMAI dan Malaysian Advancement Party (MAP) bertanding menggunakan logo PN?
“Adakah ini bermakna Pas bimbang dengan pembentukan gabungan lebih besar untuk menentang kerajaan Pakatan Harapan? Atau Pas khuatir IPR akan mengukuhkan kedudukan dan kepimpinan Muhyiddin?” katanya.
Tambah beliau, keengganan mengiktiraf IPR seolah-olah menunjukkan wujud motif politik tertentu dalam usaha meminggirkan Bersatu.
“Sama ada keengganan memberi ruang kepada IPR merupakan usaha menghidupkan semula pengaruh politik Datuk Seri Hamzah Zainudin dan kumpulannya yang disingkirkan daripada Bersatu masih belum jelas,” katanya.
Semalam, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata, hanya anggota sah PN dibenarkan bertanding menggunakan logo gabungan itu.
Beliau berkata, tiada keputusan dibuat untuk memperluaskan penggunaan logo tersebut kepada parti di bawah IPR seperti yang dicadangkan Muhyiddin bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka. – UTUSAN










