Anwar arahkan setiap pemimpin kerajaan kemuka nama kampung jagaan minggu depan

Anwar arahkan setiap pemimpin kerajaan kemuka nama kampung jagaan minggu depan

ANWAR Ibrahim ketika berucap pada majlis Perhimpunan Bulanan warga Jabatan Perdana Menteri (JPM), di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan setiap pemimpin dan ketua jabatan untuk memberikan nama kampung jagaan masing-masing selewat-lewatnya minggu depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau telah mengusulkan cadangan pendekatan itu sebelum ini untuk memastikan kampung di bawah jagaan mereka dapat dikenal pasti setiap permasalahan agar diselesaikan sebaiknya.

“Setiap ketua pengarah atau ketua jabatan pilih kampung siap-siap, jangan tunggu tiga atau empat bulan, minggu depan boleh bagi nama kampung. Saya harap kalau boleh dalam kesibukan kita ini dapat kita kenal pasti kampung.

“Kalau sempat balik dan kalau tak sempat hubungi pun tak apa, kita ambil tahu siap-siap berapa puluh persatuan di situ, buat perjumpaan sama ada kita atau ada seorang pegawai yang boleh selaraskan dengan kita,” katanya ketika berucap pada majlis Perhimpunan Bulanan warga Jabatan Perdana Menteri (JPM), di sini hari ini.

Anwar berkata, beliau sendiri telah memulakan pendekatan itu di kampung halamannya di Kampung Cheruk Tok Kun dengan mengadakan pertemuan dengan semua jawatankuasa kampung, masjid, surau termasuk persatuan belia untuk mengenal pasti berapa ramai di kampung itu dalam golongan miskin tegar, anak keciciran pelajar dan yang terlibat masalah sosial.

Katanya, setiap permasalahan itu perlu dilihat sebagai satu keluarga besar untuk diselaraskan dengan jabatan-jabatan terlibat yang dipercayai boleh memberi kesan lebih baik.

Menurut beliau, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) JPM akan menyediakan garis panduan dan standard operasi prosedur (SOP) berkaitan untuk melaksanakan pendekatan ini dengan cara lebih berkesan.

“Saya dah cuba di Cheruk Tok Kun, Rabu ini saya akan lapor ke jemaah menteri tentang apa dilakukan dan kalau boleh semua menteri, ketua jabatan pilih (kampung).

“Kalau ada 10,000 pegawai kanan kita mulakan dahulu, jadi kita dapat berurusan dengan 10,000 kampung (kenal pasti) semua kes, tiap kampung ada masalah dadah, keciciran, sakit mental, orang kurang upaya, kita selaraskan kegiatan dan bantu mereka.

“Itu pendekatan baharu, saya belum tahu ada pendekatan begini buat di dunia, jadi saya tak boleh jamin ia sesuatu yang berhasil tapi saya fikir ia boleh (dilaksanakan),” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×