KUALA LUMPUR: Rata-rata ahli parlimen pembangkang mendesak draf memorandum persefahaman (MoU) berkaitan penyaluran peruntukan segera dibentangkan kepada mereka.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Parlimen Jerantut, Khairil Nizam Khirudin berkata, sehingga hari ini tiada sebarang pertemuan dibuat bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berhubung perkara itu meskipun dikatakan MoU berkenaan telah siap dan menunggu masa sahaja untuk dibentangkan.
“Belum, tidak ada pertemuan langsung apatah lagi perbincangan dengan kerajaan tentang perkara ini. Kami juga menunggu,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad FadhIi Shaari pula berkata, peruntukan tersebut penting bagi memelihara kepentingan rakyat di kawasannya.
“Macam mana kita nak tolong kalau duit yang ada pun cukup untuk bayar pusat khidmat sahaja anggaran dalam RM10,000? Ada yang berhenti kerja hakiki dan menjadi Ahli Parlimen. Kita semua bukan senang mana pun, sebab itu kerajaan perlu tolong.
“Bukan tolong kita, tolong rakyat dulu, takkan nak hukum mereka kerana pilih pembangkang jadi wakil rakyat?” kata beliau.
Tuntutan peruntukan oleh wakil rakyat pembangkang telah dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan pada 17 April lalu.
Sebelum ini, Ketua Sekretariat Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Kerajaan Perpaduan, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dilaporkan berkata, MoU berkaitan penyaluran peruntukan kepada ahli parlimen pembangkang sudah siap dan terpulang kepada Timbalan Perdana Menteri untuk membincangkannya dengan pihak berkaitan.
Jelasnya, peranan tersebut telah diputuskan untuk diberi kepada Fadillah dan pembangkang hanya perlu menunggu untuk dipanggil berbincang membabitkan perkara itu.
Fadillah ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, pihaknya akan memaklumkan sebaik sahaja ada perkembangan terbaharu.
“Kalau sudah ada nanti akan maklumkan, okey,” jawabnya ringkas. – UTUSAN











