Pertengahan Januari lalu, di dalam satu acara di Universiti Malaya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyuarakan kekecewaan beliau terhadap prestasi Malaysia di dalam keputusan PISA 2022. Malaysia menjadi negara paling teruk kemerosotan skor bagi tiga teras PISA iaitu Membaca, Matematik dan Sains dalam kalangan negara ASEAN.
Antara pesanan Perdana Menteri, jika kita mahu meningkatkan kualiti sistem pendidikan negara, pertama sekali tidak lagi boleh berada di dalam sindrom penafian dan terlalu terpesona dengan sejarah pencapaian sistem pendidikan pada masa lalu.
Tidak dinafikan sistem pendidikan negara ini di era 1970-an dan 1980-an cukup disegani negara serantau. Pelbagai agenda pendidikan khususnya untuk menyelesaikan isu keciciran murid, membina lebih banyak sekolah di luar bandar, menyediakan asrama harian, program Rancangan Makanan
Tambahan, skim pinjaman buku teks, peruntukan untuk Biasiswa Kecil Persekutuan, dan memperkasa institusi MARA sebagai institusi induk pendidikan bumiputera berjaya dilaksanakan.
Dahulu, memang dalam kalangan negara ASEAN, sistem pendidikan Malaysia menjadi model yang sentiasa dicontohi negara serantau. Malah sistem pendidikan negara ini juga sentiasa dijadikan penanda aras dalam kalangan negara-negara Islam (OIC) dan negara membangun (NAM) khususnya di benua Afrika dan Timur Tengah.
Bagaimanapun, persekitaran masyarakat hari ini sudah banyak berubah. Kemajuan pesat ekonomi global, perkembangan teknologi maklumat dan perindustrian mengubah banyak hal termasuklah cara pengurusan pendidikan. Jika kita tidak segera melakukan perubahan budaya kerja dan mengadaptasi cara-cara baru menguruskan sistem pendidikan, maka pasti kita akan ketinggalan.
Laporan terkini oleh pasukan Bank Dunia yang bertajuk Bending Bamboo Shoots: Strengthening Foundational Skills telah melaporkan beberapa hasil yang sepatutnya mendapat perhatian dari pihak penguasa pendidikan di negara kita.
Pertama, laporan itu menyatakan selain Singapura yang mencapai kualiti pendidikan antara yang terbaik di dunia, Vietnam juga menunjukkan prestasi yang begitu memberangsangkan. Malangnya, pencapaian kualiti pendidikan Malaysia tidak begitu menyerlah malah dilihat membimbangkan.
Sebagai contoh walaupun secara purata masa persekolahan di Malaysia adalah 12.5 tahun, tetapi apabila diukur keupayaan dan kemahiran murid, keupayaan dikatakan berkadar 8.9 tahun sahaja.
Berbanding Vietnam di mana secara purata murid mereka belajar selama 12.9 tahun tetapi berjaya mencapai keupayaan seperti kanak-kanak yang belajar selama 10.7 tahun lamanya. Lebih menarik bila negara kita telah membelanjakan 3.2 peratus dari GDP negara untuk pendidikan, lebih rendah dari negara serantau termasuk Vietnam.
Kajian ini membawa maksud pelaburan Malaysia di sektor pendidikan masih belum mencapai tahap yang memuaskan. Malaysia perlu memastikan setiap ringgit dibelanjakan kepada sektor pendidikan memberikan nilai pulangan yang lebih tinggi.
Kedua, data kajian oleh SEA-PLM 2019 yang dipetik di dalam Laporan Bank Dunia ini juga melaporkan hanya 58 peratus kanak-kanak yang mencapai umur 10 tahun di Malaysia mempunyai kemahiran membaca memuaskan apabila berada di band enam.
Sementara itu, masih terdapat 42 peratus lagi yang berusia 10 tahun tidak mencapai tahap memuaskan. Oleh kerana kemahiran membaca adalah asas di dalam pembelajaran, apabila ada murid-murid yang masih tidak mencapai tahap membaca memuaskan, ini tentunya akan menjejaskan proses pembelajaran murid untuk jangka panjang.
Ketiga, laporan OECD berkaitan prestasi keputusan PISA 2022 bagi Malaysia dilihat sebagai tidak memberangsangkan berbanding negara serantau. Skor peningkatan pencapaian membaca, Matematik dan sains murid-murid di Singapura, Kemboja, Filipina, Brunei menunjukkan skor prestasi PISA 2022 yang jauh lebih baik berbanding Malaysia.
Tentulah ini sesuatu yang menimbulkan persoalan kerana Malaysia membelanjakan sekitar 3.2 peratus KDNK untuk tujuan pendidikan. Satu jumlah yang begitu besar berbanding beberapa negara ASEAN yang lain atas tujuan yang sama.
Keempat, laporan Bank Dunia ini juga memberikan penekanan besar kepada perlunya Malaysia melipatgandakan usahanya untuk memperkasa sistem pendidikan prasekolah yang dilihat masih di belakang berbanding beberapa negara serantau lain.
Misalnya, diketengahkan isu kekurangan tempat untuk anak-anak mendapat pendidikan pra sekolah terutama di bandar, kekurangan guru prasekolah, kelayakan guru yang sebahagian masih rendah atau tidak bertauliah dan kemudahan pembelajaran yang masih kurang.
Bagaimanapun, Laporan Bank Dunia ini juga menunjukkan ada penambahbaikan dilakukan. Pertama, Malaysia berjaya merapatkan jurang akses dan pencapaian akademik dalam kalangan murid di bandar dan pedalaman.
Kedua, laporan bank Dunia menunjukkan kerajaan Malaysia melakukan agihan peruntukan pendidikan yang adil dengan memberikan penekanan untuk membantu kumpulan murid di negeri yang miskin. Sebagai contoh, empat negeri yang termiskin iaitu Sabah, Sarawak, Kedah dan Kelantan mendapat peruntukan per kapita murid yang jauh lebih tinggi berbanding negeri kaya seperti Selangor, Johor, Wilayah persekutuan dan Pulau Pinang.
Usaha membawa kembali sistem pendidikan negara ke arah yang berjaya memerlukan persiapan minda, perubahan budaya kerja serta keberanian kepimpinan pendidikan negara membuat reformasi pendidikan secara menyeluruh.
Cara fikir masyarakat semakin kompleks, kepelbagaian budaya yang perlu diraikan, ketidaktentuan ekonomi dan politik global dan kemajuan pesat teknologi maklumat tidak memungkinkan kita hanya berdiam diri dan terus mengekalkan amalan lama di dalam menguruskan sistem pendidikan. Amalan pendidikan perlukan perubahan sesuai dengan tuntutan masa kini demi mengembalikan kecemerlangan pendidikan negara.
Dr. Anuar Ahmad ialah Setiausaha, Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan Majlis Profesor Negara.










