Peruntukan pembangkang dengan pelbagai syarat bukan amalan demokrasi

Peruntukan pembangkang dengan pelbagai syarat bukan amalan demokrasi

ISMAIL ABDUL MUTTALIB (dua dari kanan) beramah mesra dengan para tetamu dalam Majlis Aidilfitri Peringkat Parlimen Maran di Sungai Ling, Mara, Maran, Pahang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang jika dikenakan pelbagai syarat tidak akan mencerminkan amalan demokrasi dalam pentadbiran kerajaan.

Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Dr. Ismail Abdul Muttalib berkata, wakil rakyat pembangkang yang dipilih pengundi dalam pilihan raya umum mempunyai hak terhadap peruntukan bagi  disalurkan di kawasan masing-masing.

“Peruntukan yang diberikan bukan untuk tujuan peribadi tetapi diagih-agihkan kepada rakyat tanpa mengira fahaman politik dan pilih kasih.

“Penyaluran peruntukan yang dipersetujui diharap akan mewujudkan iklim politik matang yang mewarnai kehidupan rakyat yang berdepan dengan pelbagai isu seperti kenaikan kos sara hidup,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Aidilfitri peringkat Parlimen Maran di Dataran Sejahtera, Kampung Sungai Ling di sini, hari ini.

Rabu lalu, Ketua Sekretariat Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Kerajaan Perpa­duan, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, draf memorandum persefahaman (MoU) berkaitan penyaluran peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang sudah siap dan terpulang kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof untuk membincangkannya dengan pihak berkaitan.

Ismail menambah, pelaksanaan (pengagihan peruntukan) masih lagi berliku kerana ada ‘syarat’ yang perlu dipatuhi pembangkang.  

“Kerajaan seolah-olah bermain tarik tali sebenarnya. Namun, kelebihan politik kepada pembangkang kerana rakyat yang bijak dapat menilai keikhlasan kerajaan dalam menyalurkan peruntukan kepada pembangkang,” katanya.

Tegas beliau, keputusan Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan secara dasarnya bersetuju untuk mempertimbang menyalurkan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang disambut baik.

Ujar Ismail, kelulusan peruntukan kepada wakil pembangkang itu secara langsung akan mewujudkan keadilan peruntukan untuk disalurkan semula kepada rakyat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN