Saya tak pernah mengharapkan anugerah - Hafidzuddin Fazil - Utusan Malaysia

Saya tak pernah mengharapkan anugerah – Hafidzuddin Fazil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGALAMAN diperdaya rakan industri membuatkan pelakon bertaraf ‘otai’, Hafidzuddin Fazil tegas dalam menetapkan kadar bayaran bagi setiap hasil kerja lakonan beliau.

Kata Hafizuddin yang berusia 66 tahun, pengalaman yang membuka mata itu telah menjadikan beliau seorang pelakon yang tegas tentang soal bayaran.

“Perkara ini berlaku kira-kira 15 tahun lepas, seorang kawan meminta saya berlakon untuk projeknya dengan bayaran rendah dan berjanji akan membayar harga setimpal pada projek yang seterusnya.

“Saya tolong dia atas hubungan sebagai seorang kawan.

“Namun janji palsu yang ditabur. Selepas ‘termakan’ pujukan, saya sedar, kalau hormat kawan, sepatutnya dia bayar lebih. Tapi tidak begitu. Selepas pengalaman itu, saya tidak lagi percaya kepada ‘janji mulut’,” katanya.

Disebabkan ketegasan itu, mungkin ada pihak yang menyalah anggap, melabel pelakon asal Kuantan, Pahang ini sebagai sombong.

Hafidzuddin tidak kisah dilabel sedemikian. Baginya, prinsip yang ditetapkan harus erat digenggam supaya tidak mudah dipermainkan mana-mana pihak yang suka mengambil kesempatan.

“Saya tak sombong, sebaliknya tak boleh rendahkan kadar bayaran kerja lakonan saya. Katakan kadar yang saya tetapkan adalah RM1,000, tapi penerbit tawarkan RM500. Saya akan berterus terang bahawa harga yang ditawarkan itu rendah.

“Kalau dia bersetuju naikkan, contoh sehingga RM900, mungkin saya terima. Tapi kalau dia bertegas hendak tawarkan RM500, saya tolak.

“Mungkin ada pelakon sanggup dibayar rendah untuk kelangsungan hidup. Itu pilihan mereka. Saya pula ada harga yang telah saya tetapkan,” katanya lagi.

MINAT SEJAK SEKOLAH

MINAT kepada bidang lakonan tersemai dalam diri Hafizuddin sejak usia kanak-kanaknya dengan menyertai persatuan seni lakon yang ditubuhkan di sekolahnya.

Apabila ditanya mengenai guru lakonan, pelakon yang mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah Inggeris Kluang, Johor ini memetik guru sekolahnya, Ismail Zam Zam sebagai individu terawal yang memberi pendedahan dalam bidang tersebut.

“Dia merupakan pengasas Persatuan Bahasa Malaysia di sekolah berkenaan. Saya merupakan ahli persatuan itu selama tiga tahun sebelum dilantik menjadi presidennya.

“Saya mendapat bimbingan Ismail menerusi beberapa drama pentas yang dipersembahkan di sekolah.

“Antara yang tidak dapat saya lupakan adalah ketika membawa peranan Sultan Melaka menerusi pementasan tablo drama (drama tanpa dialog) yang dipentaskan pada 1974,” ceritanya.

Pembabitan beliau secara profesional dalam bidang lakonan pula bertitik tolak pada usianya mencecah 30-an menerusi pembabitan di pentas teater.

“Saya mula berlakon pada 1990 menerusi teater berbahasa Inggeris yang bertajuk Philadelpia Here I Come. Masa itu saya masih bekerja dengan sebuah syarikat pengiklanan.

“Kemudian saya mencuba nasib dengan melakonkan watak antagonis menerusi drama Idaman yang ditayangkan pada tahun 1998.

“Pada tahun yang sama, saya ditawarkan pula untuk menjayakan drama berbahasa Inggeris 156 episod berjudul City of The Rich yang turut dibintangi Fauziah Ahmad Daud. Drama-drama ini adalah antara yang terawal saya lakonkan,” kongsinya.

 

PENGALAMAN BERHARGA

BANYAK pengalaman yang dikumpul Hafidzuddin sepanjang lebih 30 tahun menghambakan diri dalam dunia drama dan perfileman.

Antara yang masih segar dalam ingatan beliau adalah ketika mengalami kecederaan otot sewaktu menjayakan sebuah babak dalam drama Berarak Mendung Kelabu yang diterbitkan kira-kira lebih 10 tahun lalu.

Namun, kata beliau, antara kenangan yang paling memberi kesan kepada dirinya adalah ketika terlibat dalam pembikinan drama Abang Muazzin arahan Ridzuan Mat Hussein.

“Disebabkan bencana banjir dan pandemik Covid-19, seluruh warga produksi terkandas selama dua minggu di Kuantan, Pahang.

“Itu adalah tempoh paling lama saya berada di lokasi penggambaran dan berpisah dengan keluarga,” ujarnya.

Pada masa sama, Hafidzuddin turut berkongsi tentang watak yang paling memberi kesan kepada dirinya sepanjang tiga dekad berlakon.

Katanya, antara yang paling memberi impak adalah watak Mejar Yusof yang dijayakannya menerusi telemovie Renungan Ajal yang ditayangkan pada 2012.

“Skripnya berat, menceritakan tentang seorang anggota tentera yang sepanjang 100 hari melihat tanda-tanda kematiannya.

“Saya telah merujuk sahabat saya, seorang pesara tentera yang masih akrab dengan saya sehingga ke hari ini.

“Antara yang paling menyentuh perasaan saya adalah ketika melihat wajah isteri dan anak-anak yang bakal ditinggalkan Pasukan Pengaman Batalion Malaysia (Malbatt) yang pada ketika itu bakal berlepas dari Lapangan Terbang Subang untuk misi pengaman di Lebanon.

“Besar impaknya drama ini membuatkan saya, sejak dari itu semakin mendekatkan diri dengan masjid,” kongsinya.

 

TAK KEJAR PENGIKTIRAFAN

SELAMA tiga dekad berlakon, tiada satu pun anugerah diterima pelakon hebat ini.

Namun Hafidzuddin tidak kecewa kerana penganugerahan bukan satu perkara yang dikejarnya.

“Saya tak pernah mengharapkan anugerah atau terfikir untuk mendapatkannya. Saya tahu, saya tak akan dapat (anugerah).

“Pada pandangan saya, kita sudah boleh agak siapa penerimanya. Yang kita jangka sepatutnya dapat, akhirnya tidak. Ini saya bercakap tentang anugerah untuk bidang drama.

“Apa pun, siapa juga penerimanya, itu rezeki mereka. Diharapkan selepas menang (anugerah) kita tidak menjadi manusia yang ‘besar kepala’,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×