Tuduhan pengurusan KK Mart hina Islam tidak terbukti - Mufti Perak - Utusan Malaysia

Tuduhan pengurusan KK Mart hina Islam tidak terbukti – Mufti Perak

WAN Zahidi Wan Teh dalam sidang akhbar di pejabatnya di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Berasaskan kaedah kehakiman Islam, tuduhan menghina agama Islam terhadap pengurusan pasar raya KK Mart tidak terbukti.

Mufti Perak, Datuk Seri Wan Zahidi Wan Teh berkata, mengikut kaedah kehakiman Islam, satu daripada rukun penting dalam perlakuan jenayah ialah niat dan keinginan melakukannya, atau alqasdul jinaei (criminal intent).

Tambah beliau, elemen itu tidak boleh dibuktikan melalui syahadah atau direct evidence dan ia hanya boleh dibuktikan dengan pengakuan atau melalui kaedah pembuktian qarainul ahwal (circumstantial evidence).

“Daripada penjelasan yang dibuat oleh pihak pengurusan KK Mart dan permohonan maaf secara terbuka terhadap insiden yang berlaku serta penjelasan yang dibuat kepada Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim), ternyata kewujudan rukun alqasdul jinaein ini tidak dapat dibuktikan.

“Dengan demikian, berasaskan kaedah kehakiman Islam, tuduhan menghina agama Islam terhadap pengurusan KK Mart tidak terbukti.

“Saya berkeyakinan pernyataan ini adalah amanah yang wajib disampaikan sebagaimana yang diperintahkan dalam surah An-Nisaa ayat 58,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Penjelasan itu dibuat susulan isu stoking yang dikatakan terdapat di rak jualan pasar raya tersebut.

Ketika ditanya tentang kesan kenyataan beliau kepada kes berkenaan telah dibicarakan di mahkamah, Mufti Perak itu berkata, beliau bercakap atas prinsip kehakiman Islam dan beliau tidak mencampuri urusan mahkamah.

Berkenaan kenyataan itu dibuat agak lewat sejak isu itu hangat, beliau menerangkan ini kerana kajian dan rujukan perlu dibuat terlebih dahulu.

Wan Zahidi juga berkata, prinsip keadilan sejagat mempunyai kedudukan yang suci dalam Islam kerana ia bersumberkan satu daripada nama-nama Allah yang indah al-Adl.

Katanya lagi, ayat 8 daripada Surah Al-Maaidah menekankan bahawa keadilan wajib ditegakkan terhadap semua kaum sama ada yang kita suka atau tidak.

Tambahnya, Surah An-Nisaa ayat 58 perintah menegakkan keadilan didahului oleh perintah menyampaikan amanah kepada mereka yang berhak.

“Ini membawa pengertian bahawa keadilan adalah amanah yang wajib disampaikan kepada siapa sahaja yang berhak tanpa mengira kaum.

“Apabila isu ini disensasikan dengan menyemarakkan sentimen kebencian dan kemarahan, maka penanganannya telah tersasar jauh daripada landasan keadilan Islam sejagat,” katanya.

Oleh itu katanya, tindakan memboikot terhadap sesuatu kaum tidak selari dengan sunnah Rasulullah SAW. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×