PETALING JAYA: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) menyeru semua pihak mengambil kira pandangan Mufti Perak, Datuk Seri Wan Zahidi Wan Teh yang meminta masyarakat bertindak wajar dan menggunakan pendekatan berhikmah dalam membela Islam.
Yang Dipertua Yadim, Datuk Hasanuddin Mohd. Yunus berkata, gesaan itu sewajarnya diambil perhatian serius oleh semua pihak, khususnya umat Islam di negara ini.
“Isu boikot, dikhuatiri akibat terlalu disensasikan, akan menimbulkan lebih banyak kekeliruan hingga masyarakat tidak pasti yang mana satukah fakta yang benar dan tepat.
“Yadim menyeru semua pihak agar cakna dengan kenyataan Mufti Perak tersebut supaya isu ini tidak menjadi semakin keruh dan merugikan semua pihak,” katanya dalam kenyataan.
Media sebelum ini melaporkan, Wan Zahidi berkata, berasaskan kaedah kehakiman Islam, tuduhan menghina agama Islam terhadap pengurusan pasar raya KK Mart tidak terbukti.
Ia sekali gus menyaksikan tiada kewajaran premis perniagaan syarikat itu diboikot kerana tindakan memboikot terhadap sesuatu kaum tidak selari dengan sunnah Rasulullah SAW.
Mengulas lanjut, Hasanuddin berkata, umat Islam dan bukan Islam di negara ini saling memerlukan, maka sebarang ketidakadilan dan keburukan yang menimpa salah satunya akan memberi kesan kepada yang satu lagi.
“Justeru, saling hormat dan bantu membantulah sesama kita.
“Seperti ditegaskan oleh Sahibus Samahah Datuk Seri Wan Zahidi Wan Teh, dakwah Islamiah memerlukan suasana tenang dan damai serta hubungan harmoni antara kaum yang menganut pelbagai agama,” katanya. – UTUSAN









