Fokus isu dihadapi penduduk, bukan tabur fitnah

Fokus isu dihadapi penduduk, bukan tabur fitnah

RAMANAN Ramakrishnan ketika ditemui pemberita di majlis Sepetang Bersama Kak Wan di Fraser Valley Kuala Kubu Baharu, di sini – UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU SELANGOR: Beberapa pihak didakwa menggunakan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu sebagai ruang untuk menabur fitnah.

Timbalan Ketua Penerangan PKR, Datuk Ramanan Ramakrishnan berkata, semua pihak sepatutnya memberi fokus kepada isu-isu dihadapi oleh penduduk dan pengundi di Kuala Kubu Baharu.

Menurut beliau, sekiranya fitnah dijadikan sebagai modal kempen politik, ia akan menyebaban kerosakan terhadap seluruh komuniti.

“(Saya) tengok banyak yang mengambil kesempatan (terhadap) PRK ini untuk bercakap (mengenai) isu-isu kebangsaan, membuat fitnah (terhadap) kepimpinan berkaitan dengan program dijalankan dan bantuan-bantuan diberikan.

“Kita kena fokus kepada apa yang berlaku di Kuala Kubu Baharu dan pengundi-pengundi di sini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis Sepetang Bersama Kak Wan yang turut dihadiri Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Untuk rekod, PRK Kuala Kubu Baharu yang bakal diadakan pada 11 Mei ini menyaksikan pertembungan empat penjuru iaitu Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Pang Sock Tao (Pakatan Harapan), Nyau Ke Xin (Bebas) dan Hafizah Zainudin (Parti Rakyat Malaysia).

Dalam pada itu, Ramanan yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, jalan penyelesaian mengenai masalah dihadapi oleh peniaga termasuk di Kuala Kubu Baharu sudah ada dalam perancangan.

Bagaimanapun, jelasnya, sekiranya Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi mengumumkan, dibimbangi akan menjadi satu kesalahan bagi Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Memang sudah ada dalam perancangan tetapi seperti yang kita nampak, Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) pun ada mengatakan kita kena ambil kira. Kita baru kerajaan (selama) setahun dan lebih sedikit untuk beberapa bulan.

“Berapa banyak yang kita boleh capai (dalam) 365 hari? Bagi kita ruang, mandat diberikan untuk lima tahun, jadi bagi Perdana Menteri lima tahun (juga). Selepas lima tahun baru kita boleh tengok perkembangan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×