Alhamdulillah, kita sudah memasuki 24 Syawal hari ini. Masih banyak jemputan rumah terbuka yang diterima sehinggakan jalan-jalan sekitar ibu negara sesak setiap hujung minggu bermula minggu pertama Syawal.
Begitulah hebatnya suasana berhari raya di negara kita. Sehinggakan hari ini, ada yang masih berjuang untuk menghabiskan puasa enam.
Semuanya gara-gara banyak dapat jemputan jamuan raya terutama pada hujung minggu dan cuti umum 1 Mei lalu.
Tidak salah meraikan hari raya sebulan walaupun hari raya itu sebenarnya hanya 1 Syawal. Yang baiknya, sepanjang Syawal ini, program ziarah menziarahi untuk menyambung silaturahim terus subur baik di bandar mahu pun di desa.
Dalam kesibukan berhari raya, jangan kita dilalaikan dengan aktiviti makan minum semata-mata. Sebaliknya, hendaklah kita meneruskan memontem ibadat yang dilakukan terutama dalam Ramadan. Solat jemaahnya, baca al-Quran, bersedekah dan ain-lain ibadat mesti diteruskan.
Ingatlah nasihat para salafus soleh yang berkata: “Jadilah kamu hamba Allah yang Rabbani dan bukan menjadi hamba Ramadan.”
Paling tidak, jangan tinggal puasa sunat enam hari pada Syawal. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan lalu diiringi dengan puasa enam hari di bulan Syawal, seolah-olah dia telah berpuasa selama setahun. (Riwayat Muslim)
Menurut Imam Ibnu Rajab al-Hanbali, “Dan diantara (faedah menyambung berpuasa 6 bulan Syawal) adalah sesungguhnya amal seorang hamba yang taqarrub dengannya kepada Allah SWT pada bulan Ramadan tidak terputus dengan selesai Ramadan, bahkan ia bersambung selepas selesainya selama mana hamba tersebut masih hidup.”
Sebenarnya momentum kesungguhan ibadat pada Ramadan itu hendaklah dilangsungkan kepada bulan yang lain. Ini supaya semangat kesungguhan mengabdikan diri kepada Allah sentiasa berterusan.
Perhatikan firman Allah SWT tentang kefarduan puasa yang bermaksud: Wahai orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang dahulu daripada kamu, mudah-mudahan kamu bertakwa. (al-Baqarah: 183)
Pada akhir ayat di atas disebut mudah-mudahan kamu bertakwa. Ini memberi maksud Ramadan sebagai bulan tarbiah iaitu mendidik insan membiasakan ibadat yang wajib dan sunat.
Biasanya ia lebih mudah dilaksana kerana ketika itu nafsu lemah kerana kita tidak makan dan minum pada siang hari.
Sebab itu, ramai yang mudah sampai awal berjemaah solat fardu di masjid, bersedekah, bangun malam, mengaji, solat tarawih dan sebagainya.
Namun, ujian sebenar adalah selepas tamatnya Ramadan apabila kita sudah kembali kepada fitrah.
Nafsu juga kembali seperti sediakala. Ada nafsu makan minum, berhibur dan sebagainya. Ketika inilah, kita kembali menjadi diri yang sebenar.
Harapannya, pendidikan sebulan dalam Ramadan berjaya mengubah kita menjadi insan yang lebih baik. Yang terdorong melakukan kebaikan dan terhindar daripada sebarang maksiat.
Selain itu, seusai Ramadan, adanya kefarduan zakat fitrah dan bermulanya musim haji. Ini menunjukkan dua rukun Islam sedang menanti umat Islam. Sekali gus mengisyaratkan bahawa acara ibadat hendaklah berlangsungan sepertimana yang berlaku pada Ramadan.
Sayangnya, dalam kegembiraan Hari Raya Aidilfitri, masjid dan surau kembali sepi. Jika dalam Ramadan, setiap waktu solat, masjid dan surau dipenuhi jemaah.
Waktu subuh yang dahulunya mencecah lima ke enam saf, kini yang tinggal berjemaah boleh dibilang dengan jari.
Masjid sudah ‘hilang’ jemaah yang semasa Ramadan lalu memenuhi ruang-ruang solat. Sehinggakan minggu pertama Ramadan, masjid terasa kecil dibanjiri para jemaah termasuk golongan wanita.
Sebenarnya inilah penanda aras orang mukmin sama ada tarbiah madrasah Ramadan yang ditempuh selama 30 hari itu berjaya mendidik seseorang bertakwa atau tidak?
Inilah ditegaskan oleh Allah SWT menerusi firman-Nya yang bermaksud: Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? (al-Ankabut: 2)
Semasa Ramadan, syaitan dirantai dan dibelenggu, yang ada hanya nafsu. Kini selepas hari raya fitrah, syaitan kembali bergabung dengan sekutu lamanya, iaitu nafsu untuk melihat sejauh mana kentalnya pertahanan yang ada dalam diri orang Islam.
Barangkali yang ‘hebat’ dalam Syawal adalah jumlah yang solat sunat Hari Raya Aidilfitri. Dapat dilihat di mana-mana pun, waima di kampung atau di ibu kota, bilangan yang hadir berjemaah pada Rabu, 11 April lalu melimpah ruah.
Sebenarnya, kejayaan puasa kita diukur selepas kita melewati Ramadan. Ada orang sepanjang Ramadan pergi ke masjid dan surau tetapi selesai Ramadan, perkara itu tidak lagi dilakukan. Maka itu namanya ‘hamba Ramadan’, bukannya hamba Allah.
Ulama berkata, jadilah kamu hamba-hamba Allah dan jangan kamu menjadi hamba Ramadan. Antaranya, ulama kontemporari tersohor, Allahyarham Profesor Dr. Yusof al-Qaradawi sering mengungkapkan atau menulis dalam artikel mereka perkataan ini: Kun rabbaniyyan wala takun ramadhaniyyan. Maksudnya, berbuat baik bukan hanya bermusim.
Jika sepanjang Ramadan kita bersungguh-sungguh menghidupkan malamnya dengan pelbagai ibadah terutama solat qiam (solat tarawih), ia sepatutnya diteruskan pada hari-hari berikutnya dengan mengerjakan solat tahajud. Demikian juga dengan solat sunat-sunat lain dan juga budaya membaca al-Quran. Jangan dibiar al-Quran suci dalam debu.
Dalam masa sama, jangan kita lupa mendoakan saudara seagama kita di Palestin terutama di Gaza dan Rafah. Sekurang-kurangnya 34,568 rakyat Palestin dibunuh dan lebih 80,000 cedera dalam serangan tentera zionis Israel sejak 7 Oktober 2023.
Mereka kini hidup dalam serba daif. Sudahlah bekalan air dan elektrik sudah lama tiada, bekalan makanan pun makin sukar diperoleh akibat Israel yang menyekat kemasukan bantuan kemanusiaan untuk Gaza.
Untuk itu, hendaklah kita bersederhana dalam menyambut baki Aidilfitri. Kenanglah saudara-saudara kita di Palestin yang terus diserang. Menghayati erti kemanusiaan perlu dijadikan agenda Syawal kita agar terbit rasa belas ehsan dan kebersamaan sesama insan.
Elok juga kita salurkan sebahagian duit untuk acara makan-makan itu bagi mengisi tabung-tabung bantuan kemanusiaan Palestin dan negara-negara yang memerlukan. Barulah benar-benar terbit hasil daripada tarbiah Ramadan dalam bab merasai kesusahan dan lapar dahaga mereka di sana.-UTUSAN
Mohd. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.










