SEREMBAN: Polis mengklasifikasikan kes penemuan mayat seorang lelaki yang terapung di Sungai Linggi dekat Paroi di sini pada 27 April lalu sebagai kes bunuh dan disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner, Mohamad Hatta Che Din berkata, ia susulan hasil bedah siasat yang dijalankan ke atas si mati mendapati terdapat kecederaan retak di bahagian kepala dan patah tulang rahang yang terjadi ketika masih hidup.
“Hasil siasatan awal polis keadaan mayat berseluar panjang tanpa baju, mempunyai tatu pada lengan sebelah kiri, kanan dan dada.
“Tiada dokumen pengenalan diri ditemui pada si mati. Mayat si mati telah dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar untuk bedah siasat dan hasil bedah siasat terdapat kecederaan ke atas mangsa.
“Oleh yang demikian, kes diklasifikasi sebagai kes bunuh dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, katanya, orang awam yang kehilangan ahli keluarga atau mempunyai maklumat berkenaan kejadian diminta tampil dan menghubungi pegawai penyiasat Asisten Superintenden Saufi Malik di nombor 011-2062 5464 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban 06-6033222 untuk membantu siasatan.
Pada 27 April lalu, media melaporkan satu mayat lelaki yang sudah reput ditemukan terapung di Sungai Linggi berhampiran Pusat Dakwah Islamiah, Paroi, di sini.-UTUSAN.










