JELEBU: UMNO yakin penyokong dan ahli mereka akan bertambah dan keluar mengundi memberikan sokongan kepada calon Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu pada 11 Mei ini.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau yakin ‘pengundi putih’ UMNO akan bertambah pada PRK itu nanti hasil beberapa siri penjelasan kepada ahli akar umbi yang telah dilaksanakan sebelum ini.
“Tidak ada perubahan dalam kalangan pengundi UMNO malah kami yakin pengundi putih UMNO akan bertambah kerana beberapa siri penjelasan akar umbi telah dilakukan maka perkara yang jadi agak kabur isunya pada satu ketika telah mula ada pencerahan.
“Saya yakin jenetra parti dari seluruh negeri Selangor dan rakan-rakan dari negeri lain juga akan membantu untuk berikan pencerahan yang lebih kuat dalam isu yang dimainkan oleh pembangkang,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2024 Parlimen Jelebu dan UMNO Negeri Sembilan 2024 di pekarangan Kompleks UMNO Jelebu, Simpang Pertang di sini hari ini.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata demikian bagi mengulas mengenai taktik pembangkang yang mendakwa kerjasama di antara UMNO dan DAP ditolak orang ramai termasuk dalam PRK Kuala Kubu Bharu.
Turut didakwa berlaku sentimen berlaku dalam UMNO bahawa ahli di peringkat akar umbi tidak merestui malah menolak kerjasama politik di antara UMNO dengan DAP.
Sementara itu, diminta mengulas mengenai terdapat tindakan segelintir penyokong Perikatan Nasional (PN) yang mencantumkan logo UMNO dan DAP ketika hari penamaan calon PRK Kuala Kubu Bharu pada Sabtu lalu, Ahmad Zahid menyifatkan pembangkang kini ketandusan modal.
“Ini bukan pertama kali, mereka melakukan taktik yang dipanggil ‘UMDAP’ ini, pilihan raya enam negeri yang dahulu pun perkara ini telah dimainkan.
“PRK di Kuala Kubu Bharu ini saya pasti banyak isu-isu lama yang akan diputar semula, kerana mereka telah ketandusan modal dan mereka gunakan modal lama utk hentam UMNO,” katanya.
Terdahulu media melaporkan Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh berang dengan tindakan segelintir penyokong PN mempamerkan replika yang mencatumkan logo parti UMNO dan DAP pada hari penamaan calon PRK tersebut.
Bagaimanapun, Pengarah Jentera Pilihan Raya Pemuda PN, bagi PRK Kuala Kubu Bharu, Muhammad Hilman Idham menyifatkan tindakan mencantumkan logo UMNO dan DAP itu merupakan luahan orang ramai yang menolak kerjasama kedua-dua parti itu.-UTUSAN.










