Ramasamy berpolitik atas dendam - Anthony Loke

Ramasamy berpolitik atas dendam – Anthony Loke

ANTHONY Loke Siew Fook bersama Pang Sock Tao bertemu dengan masyarakat India ketika hadir berkempen sempena PRK Kuala Kubu Baharu di Hulu Selangor, hari ini. - UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU SELANGOR: Bekas Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang,  Dr. P. Ramasamy didakwa berdendam dengan Pakatan Harapan (PH) dan DAP selepas tidak dicalonkan semula pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, Ramasamy memainkan politik dendam ke atas partinya apabila berkempen untuk memboikot calon PH, Pang Sock Tao di dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.

Oleh kerana itu, menurut beliau, Presiden Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (URIMAI) itu tiada alternatif lain dan tidak mempunyai hala tujunya yang tersendiri..

“Kalau ikut hujah (Ramasamy), dia ini tidak tentu arah. Dia kata jangan undi PH, tetapi nak undi siapa? (Awak) tanya dia. Dia tidak jawab hendak undi siapa (dalam PRK Kuala Kubu Baharu.

“Dia tidak ada alternatif. Maksudnya (Ramasamy) ini (hanya) berpolitik atas dendam sahaja. Dendam kepada DAP dan PH sebab tidak dicalonkan semula,” katanya ketika ditemui di pekan Kuala Kubu Baharu, di sini hari ini.

Untuk rekod, Sock Tao berdepan dengan persaingan antara empat penjuru pada 11 Mei ini iaitu antara pencabarnya adalah Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Nyau Ke Xin (Bebas) dan Hafizah Zainudin (Parti Rakyat Malaysia).

Terdahulu, media melaporkan, URIMAI yang merupakan parti baharu ditubuhkan beberapa bekas pemimpin dan ahli DAP memulakan kempennya bagi menggesa pengundi di Kuala Kubu Baharu menolak Sock Tao.

Mengulas lanjut, Anthony Loke berkata, kempen URIMAI itu tidak menjejaskan kempen dan pihaknya akan terus memberikan fokus terhadap penerangan kepada semua masyarakat.

“Sekarang ini kita hendak pilih Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN). Jadi, apabila dipilih, dia adalah wakil rakyat kerajaan negeri. Jadi itu yang kita hendak bincangkan dalam kempen PRK ini.

“Bukannya soal hendak boikot ini, boikot itu tetapi tiada alternatif. Dia tidak berani hendak cakap untuk pilih siapa. Kalau ikut dia, kita pun tiada hala tuju dan akhirnya sesat,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN